KUALA LUMPUR – Pereka grafik dan aktivis kontroversi Fahmi Reza dihalang daripada meninggalkan Malaysia.
Dalam perkongsian di media sosial, Fahmi yang mencetuskan kegemparan baru-baru ini selepas melukis gambar beruk memakai pakaian kebesaran bangsawan berkata, namanya telah disenarihitamkan oleh Jabatan Imigresen.
Menurutnya, sekatan itu dikeluarkan oleh oleh Polis Diraja Malaysia.
“Aku dah kena blacklist dan dilarang ke luar negara. Semalam aku baru dapat tahu, nama aku dalam senarai blacklist imigresen.
“Aku disekat dari renew pasport, dan disekat dari ke luar negara. Jabatan Imigresen kata sekatan dari Bukit Aman/PDRM,” katanya.
Tambah beliau, sekatan itu menyebabkan dia tidak dapat terlibat dengan pementasan yang akan berlangsung di luar negara pada bulan depan.
“Pada bulan Mei nanti aku perlu ke Eropah kerana terlibat dalam satu persembahan teater. Aku tengah usaha untuk dapatkan clearance dari Bukit Aman sebelum flight aku lepas Raya.
“Kalau penjenayah yang dah sabit kesalahan dan ada 42 tuduhan jenayah korupsi pun boleh dapat clearance untuk ke luar negara, harap Bukit Aman boleh bagi aku clearance sekali. Jangan double standard,” katanya.
Terbaharu Fahmi telah ditahan oleh polis kerana menghasut selepas berkongsi potret seekor beruk memakai tengkolok dan berkeris seperti bangsawan.
Beliau sebelum ini telah dipanggil beberapa kali oleh pihak polis kerana grafik kontroversi yang dihasil dan dikongsi di media sosial.- MalaysiaGazette