Home Nasional Senaraikan industri yang dikecualikan kenaikan gaji minimum tahun ini – NUFAM

Senaraikan industri yang dikecualikan kenaikan gaji minimum tahun ini – NUFAM

nufam

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mahu kerajaan mengeluarkan senarai industri yang dikecualikan daripada pelaksanaan gaji minimum yang berkuat kuasa pada 1 Mei ini.

Ini kerana, ramai pekerja kru kabin tertanya-tanya pelaksanaan gaji itu kerana belum mendapat notis daripada majikan mereka.

”Apa yang kami dengar industri pelancongan dan penerbangan mungkin ditangguh sehingga tahun depan. Jika ia benar, bila perintah gaji minimum ini akan dilaksanakan untuk industri tersebut?

”Isu ini seharusnya dimaklum kepada semua kesatuan kerja yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.

NUFAM juga berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk berpolitikan isu kenaikan gaji minimum ini kerana rata-rata gaji asas pekerja kru kabin sebanyak RM1,200.

“Ramai antara kru kabin penerbangan berada di dalam peringkat B40. Lebih 70 peratus golongan pekerja berada ditahap paras kemiskinan dalam bandar,” ujar kesatuan itu.

Oleh itu, mereka yang terlibat dalam isu ini harus mengambil pendekatan “tripatite” kerana ramai tidak tahu mengenai perbincangan gaji minimum yang mungkin ditangguh oleh setengah industri termasuk industri penerbangan.

Kesatuan itu sedar dalam situasi pandemik kami faham banyak syarikat terjejas tetapi janganlah menidakkan hak gaji untuk pekerja mereka.

Ini kerana, kakitangan kru kabin juga berdepan dengan cabaran kenaikan kos sara hidup yang menyaksikan kenaikan harga barangan keperluan.

Pada masa sama, pekerja kru kabin juga belum mendapat pendapatan penuh sebagaimana yang diraih sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan kerana jadual penerbangan pun banyak yang dibatalkan. – MalaysiaGazette