SEREMBAN – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) fasa peralihan ke endemik menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran SOP itu mungkin melibatkan pemakaian pelitup muka, mengimbas MySejahtera dan ujian saringan Covid-19 bagi pengembara di lapangan terbang.
“Kerajaan tidak akan berundur ke belakang, kerajaan akan memberikan kelonggaran dari semasa ke semasa.
“Kementerian Kesihatan akan berbincang dan melihat dari segi pro dan kontra melibatkan pelitup muka dan sebagainya, mungkin dari segi MySejahtera, perlu atau tidak mengimbas lagi setiap tempat kita masuk.
“Di lapangan terbang, bila balik kena ada periksa dari segi ujian PCR atau RTK Antigen, masih lagi kena sampai sama ada perlu lagi atau tidak perlu. Inilah perkara-perkara kita perlu tengok,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, sekiranya kelonggaran itu diberikan, ia akan diumumkan dalam masa terdekat dan tidak tertakluk kepada musim perayaan yang disambut umat Islam pada bulan depan.
“Ini jadi berita baik kepada rakyat, bila longgar (SOP) mesti rakyat gembira, tapi dalam masa yang sama, bila kita longgar, ada rakyat yang bimbang.
“Sebab itu kita kena seimbangkan ada rakyat yang bimbang, kalau kita terlampau bebas, ada yang takut.
“Kita sudah boleh balik kampung beraya dan sebagainya, tapi SOP pelitup muka masih dipakai walaupun penjarakan sosial seperti ini, kalau dulu salah, sekarang ini tak salah.
“Sebab itu ada yang salam tidak ada tindakan sebab kita tiada lagi penjarakan fizikal, ia tidak lagi menjadi perkara yang diwajibkan dan boleh diambil tindakan kalau dilanggar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette