KUALA LUMPUR – Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta kepada lebih 1,000 usahawan yang terlibat dalam jualan festival mega raya di ibu negara.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, bantuan itu bertujuan membangkitkan semula semangat para usahawan di negara ini yang terjejas hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.
“Kita berikan sumbangan kepada usahawan di mana peruntukan lebih kurang RM1.5 juta yang akan memberi manfaat kepada hampir 1,000 usahawan. Justeru harapan kita adalah untuk membangkitkan semula semangat keusahawanan.
“Selain itu, kita juga berharap usahawan yang menerima sedikit sumbangan ini sekurangnya dapat meringankan beban mereka dan usahawan ini dapat menjual barangan mereka dengan harga yang lebih murah kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival StarVendors Mega Raya, di Pusat Dagangan Dunia (WTC KL), hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Noh menegaskan, kerajaan sentiasa menyokong usaha untuk melahirkan para usahawan yang berdaya tahan dan berdaya saing.
Sehubungan itu, KUSKOP akan memberikan bantuan subsidi melalui SME Corp kepada setiap gerai usahawan yang terlibat dalam festival mega raya ini sebanyak RM1,750.
Sebanyak dua lokasi festival raya dianjurkan di ibu negara menjelang Hari Raya Aidilfitri melibatkan Absolute Bazaar X Gaya Raya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Festival StarVendors Mega Raya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Festival StarVendors Mega Raya akan berlangsung selama tiga hari bermula jam 9 pagi 22 April dan tamat pada jam 12 tengahari 25 April ini dengan penganjuran berlangsung selama selama 75 jam tanpa henti.
Ia bakal menyaksikan penyertaan s55 artis terkenal tanah air yang turut membuka booth dan menjual rangkaian produk mereka. – MalaysiaGazette