Home Nasional Keluarga dakwa bukan lumba haram, polis siasat kes tiga penunggang motosikal maut

Keluarga dakwa bukan lumba haram, polis siasat kes tiga penunggang motosikal maut

Kamarul Zaman Mamat (tengah) bersama Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri yang baharu, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin (dua kanan), di Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri antara Senior Asisten Komisioner, Dzulkhairi Mukhtar dan Asisten Komisioner Rahmat Ariffin.

ISKANDAR PUTERI – Polis akan melakukan siasatan berhubung insiden kemalangan maut melibatkan tiga penunggang motosikal dalam kejadian di Seri Alam, Johor Bahru kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menegaskan, siasatan dibuat bagi memberikan keadilan kepada mangsa-mangsa terlibat memandangkan ada ahli keluarga mendakwa ia tidak melibatkan perlumbaan haram.

“Berhubung kejadian itu, kita akan siasat dengan teliti kerana ada ahli keluarga beritahu ia bukan perlumbaan haram namun laluan berkenaan memang satu lokasi hotspot.

“Hasil pemerhatian pihak kami mendapati jalan tersebut lurus dan tiada sebarang halangan, jadi kemungkinan untuk berlumba memang ada, apa pun kita akan siasat. Harapan saya adalah agar keluarga mangsa terlibat tabah dengan ujian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri antara Senior Asisten Komisioner, Dzulkhairi Mukhtar dan Asisten Komisioner Rahmat Ariffin  di Iskandar Puteri hari ini.

Kamarul Zaman juga  mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah dan tidak terlibat dengan sebarang gejala tidak sihat seperti perlumbaan haram.

“Jadi nasihat saya kepada golongan muda, apabila bersama rakan-rakan mungkin rasa seronok dapat memandu tetapi perlu ingat agar tidak memandu terlalu berdekatan antara satu sama lain kerana ia memungkinkan kemalangan berlaku.

“Bukan tidak boleh memandu atau menunggang motosikal pada pukul 3 atau 4 pagi. Boleh tetapi berhemah dan jangan terlibat dengan aktiviti lumba haram dan jangan mudah terpengaruh dengan mana-mana pihak yang mencabar kerana pada akhirnya kita mungkin menjadi mangsa,” tegasnya.

Kelmarin media melaporkan tiga penunggang motosikal berusia antara 15 hingga 17 tahun maut dalam kemalangan setelah motosikal mereka bergesel antara satu sama lain.

Akibat insiden tersebut, tiga mangsa telah tercampak di atas jalan dan terlanggar batu berumput di bahu kiri jalan manakala seorang lagi mangsa dikatakan telah jatuh di bahu kanan jalan.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia adalah remaja berumur 15 dan 16 tahun manakala yang cedera parah berusia 17 tahun. -MalaysiaGazette