CHUKAI – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) diseru memainkan peranan penting dalam mewujudkan hubungan baik antara majikan dan pekerja kerana ia akan meningkatkan kemampuan ekonomi negara ke tahap lebih baik.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia perlu memandangkan peranan pekerja dan MTUC sangat penting dalam membantu memulihkan ekonomi dan melakar masa depan negara yang lebih cemerlang.
“Saya juga harap kesatuan sekerja dapat bersama dengan kerajaan dalam membantu meningkatkan kebajikan para pekerja,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Pampasan Pekerja Perwaja Kemaman di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Kemaman, di sini hari ini.
Beliau berkata pihak majikan juga perlu terus memberi kerjasama baik dengan memastikan suasana keharmonian di tempat kerja dicapai bersama golongan pekerja.
“Biasanya dari segi persepsi, kesatuan sekerja sentiasa dianggap menentang majikan… bila disebut ‘union’, anggapan orang biasanya kesatuan tak setuju dengan majikan dan union biasanya (dianggap) tak bersama kerajaan.
“Namun saya yakin dengan kepimpinan baharu (kesatuan), MTUC akan bekerjasama (dengan kerajaan) dalam membantu meningkatkan kebajikan para pekerja,” katanya.
Ismail Sabri turut menyeru golongan pekerja supaya terus meletakkan kepercayaan kepada kerajaan untuk terus membantu mereka menikmati kehidupan yang lebih baik.
Sementara itu perdana menteri menegaskan bahawa pelaksanaan gaji minima akan tetap diteruskan bermula 1 Mei ini walaupun mendapat pelbagai pandangan dan bantahan.
Katanya perincian mengenai pelaksanaan gaji minima itu akan dibuat oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan tidak lama lagi.- BERNAMA