Home Seni Hidup Rezeki anak 3 tahun menang kereta di bazar Ramadan

Rezeki anak 3 tahun menang kereta di bazar Ramadan

Muhammad Rozairen (kanan) bersama isteri dan anaknya yang memenangi hadiah utama cabutan bertuah Melaka Grand Ramadan Bazaar (Melgrab)@Jalan Hang Tuah di sini yang melayakkannya membawa pulang sebuah Proton Saga 1.3 AT Premium.

MELAKA – “Mungkin ini rezeki anak sebab saya hanya berbelanja  RM150 untuk beli baju raya anak di bazar Ramadan ini dua minggu lalu, tak sangka pula boleh menang kereta bernilai hampir RM50,000,” kata Muhammad Rozairen Hairuddin.

Jurupulih perubatan anggota (fisioterapi) berusia 30 tahun itu diumumkan sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah Melaka Grand Ramadan Bazaar (Melgrab)@Jalan Hang Tuah di sini yang melayakkannya membawa pulang sebuah Proton Saga 1.3 AT Premium.

Menurutnya, dia tidak menyangka kunjungannya ke bazar terkenal itu dua minggu lalu bersama isteri Siti Nadiah bt Zulkifly, 30, membawa tuah memandangkan ia adalah kali pertama mereka berkunjung ke bazar berkenaan untuk membeli baju raya anak sulungnya, Firaz Nadhif, 3.

“Sebelum ini, memang saya ada terbaca bazar ini menawarkan hadiah cabutan bertuah kereta tapi tidak pernah meletakkan harapan untuk menang sebab saya difahamkan terdapat lebih 200,000 kupon cabutan bertuah yang layak.

“Tapi selepas berbelanja RM150 semuanya untuk beli baju raya anak di dua gerai di sini, isteri mencuba nasib dengan mengisi lima kupon cabutan kerana syarat minimum satu kupon adalah RM30 tanpa meletakkan harapan yang tinggi untuk menang.

“Tiba-tiba, sekitar jam 10.45 malam kelmarin ketika sedang menonton televisyen, saya dapat panggilan daripada penganjur memaklumkan telah menang hadiah utama cabutan bertuah dan perlu datang malam ini (tadi) untuk mengambil hadiah,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan replika kunci Proton Saga 1.3 AT Premium yang disampaikan Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di Melgrab@Jalan Hang Tuah di sini malam tadi.

Bercerita lanjut Muhammad Rozairen yang berasal dari Kampung Semabok, di sini berkata, dia dan isteri juga sememangnya ada merancang untuk membeli kereta baharu yang lebih sesuai menggantikan kereta kompak jenis Perodua Viva dan Axia yang digunakannya bersama isteri.

“Memang itu ada dalam perancangan, tapi ternyata rancangan Allah lebih sempurna dan mungkin inilah rezeki anak yang akan menyambut ulang tahun hari kelahirannya yang ketiga 10 Julai ini,” katanya.

Mohamad Sayuthi Abd Rani

Sementara itu, penganjur Melgrab, Mohamad Sayuthi Abd Rani berkata, sebanyak 200,000 kupon penyertaan cabutan bertuah sudah diedarkan untuk layak memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah lain dengan keseluruhan hampir RM80,000.

“Untuk layak mendapat satu kupon, pengunjung Melgrab hanya perlu berbelanja minimum RM30 di mana-mana 128 gerai di sini.

“Proses cabutan bertuah ini juga dibuat secara telus yang mana kita lakukan secara ‘live’ termasuk akan terus menghubungi pemenang sebaiik sahaja kupon mereka bertuah,” katanya sambil menambah cabutan bertuah seterusnya berupa sebuah motosikal akan diadakan pada 30 April ini. – MalaysiaGazette