MELAKA – Baharu 23 hari beroperasi, 128 peniaga di Melaka Grand Ramadan Bazaar (Melgrab)@Jalan Hang Tuah di sini berjaya meraih jualan melebihi RM1.6 juta.
Berita gembira itu dikongsikan Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang memberitahu, sebanyak 95 peratus daripada 128 tapak gerai di Melgrab merekodkan jualan tinggi pada penganjuran sulungnya tahun ini.
Menurutnya, kejayaan itu wajar dicontohi syarikat lain untuk berani mengambil risiko menganjurkan acara sedemikian yang bukan sahaya memberi pulangan kepada penganjur, bahkan menjana ekonomi rakyat dan negeri.
“Saya lihat, penganjuran Melgrab ini sambutannya cukup mengagumkan sehinggakan saya difahamkan setakat malam ini, jumlah terkumpul jualan peniaga di sini sudah melebihi RM1.6 juta.
“Ini menunjukkan rakyat Melaka ada daya beli yang cukup baik sehinggakan pengunjung masih terus membanjiri bazar Ramadan ini pada jam 1.30 pagi untuk beli-belah,” katanya ketika ditemui pemberita di Bazar Melgrab di Jalan Hang Tuah, di sini, semalam.
Sehubungan itu, Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan mana-mana syarikat supaya berani mengambil risiko merangka aktiviti yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Justeru, saya menggalakkan sesiapa sahaja yang hendak melabur datang ke Melaka ini untuk menjana ekonomi baharu, boleh lihat banyak peluang lain yang ada di seluruh negeri, bukan di Jalan Hang Tuah semata-mata,” katanya.
Sementara itu penganjur Melgrab, Mohamad Sayuthi Abd. Rani berkata, sehingga semalam seramai 1.2 juta pengunjung direkodkan ke bazar berkenaan, melebihi sasaran awal sejuta pengunjung.
“Kita jangka, jumlah ini akan terus meningkat sehingga ke minggu akhir Ramadan kerana masih ramai akan memilih untuk membuat persiapan raya di saat akhir terutamanya warga kota yang pulang ke kampung halaman,” katanya.