SABAK BERNAM, 23 April 2022 – Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan kira-kira RM20,000 untuk sumbangan kepada 200 golongan fakir dan anak yatim dari Parlimen Sabak Bernam.
Sumbangan disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Abd. Rahman Bakri.
Beliau berharap sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu depan memberi kemeriahan kepada golongan itu, termasuk tiada lagi sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sambutan hari raya tahun ini sudah tentu meriah, kerana semua mereka dapat pulang ke kampung halaman bertemu sanak saudara,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan duit raya kepada golongan fakir dan anak yatim, semalam.
Turut hadir, Ketua Bahagian Operasi Menanggung Tugas Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Pada majlis itu juga, YBR meraikan kira-kira 1,000 tetamu termasuk 200 penerima sumbangan serta kehadiran pemimpin masyarakat sekitar Parlimen Sabak Bernam.
Menurut Abd. Rahman, warga kota yang bersiap sedia untuk pulang ke kampung halaman mengambil masa rehat secukupnya sebelum memandu ke destinasi masing-masing.
Ini kerana, katanya, kebanyakan punca kemalangan adalah kerana keletihan, pemandu tidak cukup rehat dan mengantuk.
Beliau juga mengajak penduduk Parlimen Sabak Bernam untuk hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Sabak Bernam yang akan diadakan pada 28 Mei ini.
Terdahulu, di sebelah petang, Abd. Rahman hadir ke program memasak bubur lambuk di Kampung Tebuk Tengah, Banting dan sebanyak 6,400 bungkusan diedarkan kepada penduduk. – MalaysiaGazette