Home Seni Hidup Bakul Syawal meriahkan 75 asnaf Kampung Kelubi

Bakul Syawal meriahkan 75 asnaf Kampung Kelubi

Ibrahim (tengah) menyerahkan Bakul Syawal kepada Jamilah di Kampung Kelubi, Jasin, Melaka

JASIN – Sambutan Aidilfitri buat pertama kali diraikan meriah selepas dua tahun ‘terkurung’ akibat pandemik Covid-19 nyata turut menggembirakan 75 golongan asnaf Kampung Kelubi di sini.

Buktinya apabila mereka dikunjungi pihak Masjid Al Mubarak yang membawakan pelbagai barangan keperluan makanan di dalamĀ  Bakul Syawal sebagai tanda meraikan golongan kurang bernasib baik itu.

Bagi Halimah Bedul, 81, berkata, walaupun hidup sebatang kara kerana tidak pernah berkahwin, pemberian barangan makanan itu antaranya beras, biskut, gula, tepung, kordial dan kopi amat bermakna sebagai tanda mereka tidak pernah dilupakan kariah masjid.

Petugas membawa Bakul Syawal untuk diagih-agihkan kepada 75 asnaf

“Walaupun pemberian Bakul Syawal ini tidaklah besar, tapi tanda ingatan itu sudah cukup membuatkan mak cik tersentuh kerana tidak sangka masih ada orang luar yang peduli dengan nasib diri selain adik beradik.

“Tahun ini adalah kali pertama mak cik dapat rasa kemeriahan Aidilfitri selepas dua tahun kita semua ‘terkurung’ di rumah tidak boleh menerima tetamu dan saling kunjung mengunjung,” katanya di sini hari ini.

Seorang lagi penerima yang juga ibu tunggal, Jamilah Abdul, 78, turut berterima kasih kepada pihak masjid kerana prihatin dengan golongan itu.

“Walaupun sebelum ini anak-anak pun ada beli makanan, tapi pemberian ini juga akan mengeratkan lagi hubungan penduduk dengan institusi masjid,” katanya.

Ibrahim Adan

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Masjid Al Mubarak, Kampung Kelubi, Ibrahim Adan berkata, Bakul Syawal itu adalah hasil sumbangan orang ramai dan pihak masjid hanya menjadi penyelaras memilih mereka yang layak dan memerlukan.

“Tahun ini tentunya menjadi Syawal paling bermakna dan meriah selepas dua tahun kita tidak dapat menyambutnya seperti biasa, sebab itu kita tampil dengan usaha ini bagi memeriahkan lagi sambutan.

“Kita mahu berkongsi kemeriahan ini agar mereka tidak berasa dilupakan atau terpinggir,” katanya. – MalaysiaGazette