KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan lebihan kematian (excess mortality) lebih rendah berbanding negara lain sepanjang pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan itu menunjukkan tindak balas negara terhadap pandemik Covid-19 adalah baik.
Menurutnya, peningkatan lebihan kematian hanya berlaku ketika lonjakan kes positif Covid-19 dalam gelombang varian Delta iaitu sekitar Julai dan Ogos 2021.
Jelasnya, tindakan kesihatan awam yang dijalankan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) pada peringkat awal penularan Covid-19 iaitu antara Mac 2020 hingga Julai 2021 membuktikan ia adalah tindakan yang baik.
“Apa yang kita lihat adalah kepatuhan kepada prosedur operasi standard yang penting, bukannya sekatan penuh (lockdown).
“Yang kedua, semasa lonjakan kes Covid-19 varian Delta pada Julai dan Ogos 2021.
“Kita sudah menjalankan liputan vaksinasi yang dipertingkatkan di Lembah Klang dan ia ternyata dapat mengawal jangkitan varian Delta dan menurunkan kes positif dengan cepat, lebih baik daripada jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Ini menunjukkan liputan vaksinasi yang tinggi adalah berkesan dan dapat mengawal Covid-19 dengan baik,” katanya pada Sesi Libat Urus Lebihan Kematian Semasa Pandemik Covid-19 di Malaysia bersama media secara dalam talian, hari ini.
Ahli panel yang terlibat pada sesi libat urus itu terdiri daripada, Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Datuk Dr P Kalaiarasu dan Ketua Unit Pusat Penyelidikan Tinjauan Institut Kesihatan Umum, Institut Kesihatan Negara, Dr G Shubash Shander.
Negara diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020.
Bagaimanapun, keadaan berubah apabila negara bertukar Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lalu selepas diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – MalaysiaGazette