Home Nasional Rayu Presiden Singapura beri pengampunan terhadap Nagaenthran

Rayu Presiden Singapura beri pengampunan terhadap Nagaenthran

MU Raja.

KUALA LUMPUR – Dengan memiliki tahap kecerdasan atau IQ serendah 69 – ramai berharap warganegara Malaysia, Nagaenthran K. Dharmalingam diberikan pengampunan oleh Presiden Singapura.

Itu antara rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Jawatankuasa Sayap Bersekutu Pusat Parti Bersatu, MU Raja berhubung hukuman mati yang sedang dihadapi oleh Nagaenthran terhadap kesalahan mengedar 42.72 gram dadah jenis heroin pada 2009 di republik berkenaan.

Kata MU Raja, hukuman itu yang akan dijalankan dalam beberapa hari lagi terhadap Orang Kelainan Upaya (OKU) itu sebenarnya boleh dielakkan seandainya Presiden Singapura dapat memberikan pengampunan dan meletakan syarat lain kepadanya.

“Bukan sahaja di negara ini sebaliknya banyak pertubuhan kemanusiaan serta individu seluruh dunia yang tampil merayu agar hukuman ini dapat diringankan bukan kerana mahu lari dari hukuman sebaliknya situasi Nagaenthran ini sendiri.

“Dia ini OKU, IQ rendah. Tolonglah dengar rayuan kami wahai Presiden Singapura. Dia bukan lelaki normal yang melakukan kesalahan ini dengan niat tertentu, dia ini kategori OKU.

“Memang sah Nagaenthran hanya ada tahap kecerdasan IQ serendah 69 dan dianggap orang kurang upaya, mengikut undang-undang antarabangsa tidak boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

“Segala rayuan telah dilakukan di mahkamah sejak itu namun keputusannya masih tidak berpihak kepada lelaki malang ini, kini yang diharapkan belas kasihan adalah dari pihak Presiden Singapura itu sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Singapura kekalkan hukuman mati terhadap Nagaenthran

Difahamkan Nagaenthran akan menjalani hukuman Rabu ini selepas Mahkamah Rayuan Singapura pada 29 Mac lalu menolak permohonan terakhir Nagaenthran terhadap pelaksanaan hukuman.

Nagaenthran berasal dari Perak dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 2010 atas kesalahan menyeludup 42.72 gram dadah jenis diamorphine.

Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 November 2021 tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif Covid-19 ketika hadir mengemukakan rayuan terakhirnya.

Kata MU Raja mahupun mana-mana pihak lain tidak memohon supaya Nagaenthran dilepaskan begitu sahaja sebaliknya lelaki itu boleh dihantar ke psikiatri untuk tindakan selanjutnya dan hukuman penjara atau hukuman serta lain-lain yang dirasakan lebih praktikal.

“Bukan kita hendak campuri urusan negara lain mahu pun berdebat apa-apa, kita hendak merayu. Keadilan perlu diberikan kepada lelaki ini kerana pihak berwajib sendiri telah mengesahkan situasinya sebagai OKU, apakah kita sebagai manusia tidak merasa apa-apa tentang itu?

“Kita tidak pasti bagaimana perbuatan itu dilakukan olehnya, adakah sedar atau tidak. Berilah Nagaentharan peluang,” rayunya. – MalaysiaGazette