KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia yang pulang berhari raya selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik sejak 1 April lalu dan sempena sambutan perayaan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dilakukan selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya.
Menurut beliau, secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun ini melibatkan 30
lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta di mana jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh Kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi.
“Pemberian tol percuma melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia
Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh Raya Utara – Selatan dan
Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).
“Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April 2022 (Sabtu)
sehingga jam 11:59 malam pada 1 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas
kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail Sabri menambah, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara – Selatan dan LPT juga akan diberikan juga untuk pulang semula ke
kediaman masing-masing bermula jam 12 tengah malam pada 7 Mei 2022 (Sabtu) hingga jam 11:59 malam pada 8 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.
Kata beliau, tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan
diberikan kepada lebuh raya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang
sama kepada semua kelas kenderaan.
“Diharapkan dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan
Aidilfitri pada tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama sama orang tersayang.
“Keputusan Kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber
pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi
mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutamanya golongan
berpendapatan rendah.
“Pada masa yang sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat
bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di
lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba ini. Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette