KLANG – Cuti 2,200 anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bahagian Penguatkuasaan dibekukan sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2022 bermula 29 April hingga 8 Mei depan.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesemua pegawai dan anggota itu akan terlibat dalam operasi-operasi dan melakukan penyamaran.
“Di Selangor sahaja cuti 300 anggota dan pegawai bahagian ini dibekukan,” katanya selepas melakukan pemeriksaan depoh bas di Persiaran Klang Sentral 2 hari ini.
Mengulas lanjut, Lokman berkata, sehingga kini 50 peratus daripada depoh bas di seluruh negara telah diperiksa bagi memastikan kesemua bas yang digunakan untuk membawa penumpang khususnya pulang ke kampung halaman berada dalam keadaan selamat.
“Pemeriksaan bas awam kerana ia merupakan pengangkutan utama dan membawa berpuluh nyawa, jika berlakunya kemalangan sudah tentu melibatkan nyawa yang ramai.
“Belum ada yang melanggar peraturan tetapi kita pastikan jika berlakunya pelanggaran undang-undang kenderaan-kenderaan (bas) tidak akan digunakan,” tambahnya.
Tambah Lokman, sepanjang operasi berlangsung anggota penguatkuasaan JPJ juga akan melaksanakan penyamaran untuk memantau pemandu bas.
“Penyamaran ini kita lakukan secara rawak. Ini untuk kita lihat adakah pemandu bas membawa bas di bawah pengaruh alkohol, dadah atau mengantuk,” katanya lagi.
Lokman berkata , secara keseluruhan sebanyak 77 buah depoh bas di seluruh negara.
Sebagai rekod, Ops HRA 2022 diadakan demi memastikan persekitaran jalan raya sentiasa selamat sekaligus menurunkan jumlah kemalangan terutama di waktu perayaan. -MalaysiaGazette