MELAKA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memperuntukan RM500,000 untuk membantu kira-kira 10,000 keluarga penerima bantuan daripada golongan memerlukan sepanjang Ramadan ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata peruntukan di bawah Program Ihya Ramadan itu menyaksikan setiap negeri menerima RM50,000.
Menurutnya, secara umumnya, sepanjang tahun ini kira-kira 50,000 peserta telah menerima manfaat di bawah Program Ihya Ramadan termasuk kira-kira 10,000 keluarga adalah penerima bantuan.
“Program ini kita ada pelbagai, bukan setakat serah bantuan tapi ada juga dalam bentuk pelaksanaan berbentuk kempen dan sebagainya yang memberi manfaat kepada kumpulan sasar.
“Bermakna, bukanlah bantuan itu untuk asnaf semata-mata, tapi kita rangkumkan sekali bersama penghuni rumah perlindungan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Bantuan Aidilfitri YADIM kepada seorang ibu tunggal, Umi Nur Faizah Fauzan Ali Halimi, 39, yang terpaksa mengutip barangan terpakai sejak lima tahun lalu bagi membesarkan empat anak perempuannya di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Kamarul Arief berkata, agensi kerajaan itu mempunyai beberapa lagi program termasuk YADIM Peduli yang mana sehingga kini telah memberi manfaat kepada ratusan ribu penerima.
“Bilangan penerima di bawah program ini terutama dalam tempoh setahun dua ini waktu pandemik Covid-19 memang meningkat dengan kes yang berbeza-beza.
“Ada orang kelainan upaya (OKU) yang perlukan kaki palsu, ada yang perlu peralatan untuk buat pekasam itu semua kami akan bantu terutama dalam tempoh setahun dua ini akibat pandemik Covid-19,” katanya.