Home Politik Tak perlu layan isu Pas Leaks – Ahmad Marzuk

Tak perlu layan isu Pas Leaks – Ahmad Marzuk

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Ahmad Marzuk Shaary bercakap kepada Malaysia Gazette di Kompleks Darul Kifayah Majlis Agama Islam, Kuala Lunmpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini tersebar dokumen Pas Leaks yang didakwa mengandungi perancangan sulit Pas bagi menjatuhkan pucuk pimpinan UMNO.

Namun bagi Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Ahmad Marzuk Shary ia merupakan satu perkara remeh seperti yang dinyatakan oleh presiden partinya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, penyebaran dokumen itu yang tidak dapat dipastikan kesahihannya itu hanyalah sebuah usaha untuk meretakkan hubungan antara parti-parti Melayu.

“Itu semua adalah sebuah usaha yang tiada apa pun sebenarnya. Melainkan untuk meretakkan hubungan antara parti-parti komponen yang sekarang ini masih teguh bersama-sama mendukung kerajaan.

“Walaupun memang ada perbezaan antara parti-parti ini dari sudut pandangan, strategi dan pendekatan” katanya ketika ditemui media di Batu Caves, Gombak hari ini.

Ahmad Marzuk yang juga merupakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, ketiga-tiga parti komponen besar (Pas, UMNO, dan Bersatu) yang membentuk kerajaan hari ini termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sememangnya bersepakat untuk bersama-sama mendukung kerajaan.

“Jadi.. tak payah layanlah perkara-perkara yang boleh meretakkan hubungan ini dan membangkitkan permusuhan sesama parti,” katanya Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.

Bagaimanapun ketika ditanya tuntutan lebih 100 gabungan badan bukan kerajaan yang mendesak dirinya letak jawatan atas kenyataan yang mengelirukan di Dewan Negara, Ahmad Marzuk enggan mengulas mengenainya.- MalaysiaGazette