MELAKA – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) akan membangunkan Taman Sigua atau biawak dianggarkan bernilai RM8 juta sebagai tarikan terbaharu pelancong ke negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Murad Husin berkata, produk berkonsepkan taman teman itu adalah penjenamaan semula Taman Lanun atau ‘Pirate Park’ di Jalan Tun Ali, Kampung Bunga Paya Pantai yang sudah ditutup sebelum ini akibat masalah kerosakan peralatan.
Menurutnya, kerja-kerja pemulihan taman berkenaan dijangka bermula tahun ini sebelum kawasan itu akan ‘dihidupkan’ semula dengan taman tema itu sebagai tarikan terbaharu yang akan menyumbang kepada produk utama PPSPM, Melaka River Cruise (MRC).
“Kita dah bincang untuk jenamakan semula ‘Pirate Park’ ini sebagai Taman Sigua yang mana sigua ini sebenarnya biawak yang memang banyak di Sungai Melaka, jadi kita namakannya Taman Sigua, dengan imej biawak itu.
“Dulu ‘Pirate Park’ itu lebih kepada permainan, tapi sekarang kita nak ubah Taman Sigua menjadi taman tema dengan anggaran kos RM8 juta yang mana semua pelancong yang naik MRC selepas ini akan berpeluang ke taman itu dengan pakej-pakej menarik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang di LaCrista Hotel di sini malam tadi.
Hadir sama Exco Kanan Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Murad berkata, PPSPM akan terus mencari pelbagai sumber hasil baharu yang mampu menyumbang kepada ekonomi Melaka dan menyasarkan seramai 700,000 pengunjung akan menggunakan perkhidmatan MRC tahun ini.
“Kita optimis untuk mencapai sasaran itu berdasarkan pencapaian pada suku pertama pada Januari sehingga Mac sahaja MRC sudah merekodkan 167,688 pengunjung melebihi daripada sasaran ditetapkan 145,000 orang.
“Ini merupakan prestasi yang baik bagi awal tahun ini dan kita juga dalam proses menaiktaraf imej korporat dalam memastikan produk PPSPM berada pada tahap antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette