Home Dunia Bagaimana Kazu 1 berakhir dengan tragedi?

Bagaimana Kazu 1 berakhir dengan tragedi?

Bot-bot nelayan turut menyertai mencari mangsa-mangsa bot Kazu 1 yang masih hilang. foto Reuters

TOKYO – Tragedi bot Kazu 1 didakwa berpunca daripada kesilapan. Itulah yang berlaku pada petang Sabtu lalu di luar pantai Hokkaido di utara Jepun.

Pada kira-kira jam 10 pagi, bot pelancongan Kazu 1 bergerak keluar dari pelabuhan nelayan kecil Utoro menuju ke semenanjung.

Bot itu boleh memuatkan 65 penumpang tetapi pada hari Sabtu itu hanya 24 pelancong menaikinya.

Mereka datang dari seluruh Jepun. Terdapat dua kanak-kanak kecil, seorang baru berusia tiga tahun.

Ketika itu cuaca buruk kerana angin kencang dan ombak setinggi tiga meter (sembilan kaki) – keadaan itu sudah cukup untuk menterbalikkan bot.

Ketika Kazu 1 menuju ke utara ke laut bergelora, bot-bot nelayan tempatan pula menuju ke arah bertentangan untuk kembali ke pelabuhan untuk berteduh.

Media-media tempatan melaporkan, ketika nakhoda bot pelancongan lain memberitahu kapten Kazu 1 keadaan terlalu berbahaya untuk keluar, tetapi amaran itu tidak diendahkan.

Kapten itu didakwa dilatih untuk mengendalikan bot tasik tetapi telah diupah oleh syarikat Shiretoko Pleasure Cruise untuk menggantikan tekong yang lebih berpengalaman yang telah “dilepaskan” oleh pemiliknya.

Syarikat itu sudah pun disiasat selepas dua insiden keselamatan sebelum ini.

Sejurus selepas jam 1 petang pada hari Sabtu pengawal pantai menerima panggilan kecemasan. Kazu 1 hanyut dengan enjin rosak dan berada berhampiran dengan Air Terjun Kashuni.

Bahagian kawasan ini adalah kritikal kerana ia tidak rata dengan beberapa pantai dan tebing menjunam terus ke laut.

Pada bulan April air masih sangat sejuk, hanya beberapa darjah di atas paras beku.

Bot penumpang yang beroperasi di perairan yang sejuk selalunya memerlukan rakit penyelamat di atas kapal.

Tetapi Kazu 1 tidak mempunyai rakit.

Kazu 1 hanya mempunyai jaket keselamatan dan pelampung untuk dipegang oleh penumpang. Terjun ke dalam perairan beku di utara Hokkaido pada bulan April rata-rata orang dewasa akan bertahan tidak lebih daripada satu jam, kata pakar.

Bagi kanak-kanak sudah tentu kurang daripada tempoh itu.

Tetapi pasukan penyelamat tidak akan tiba dalam masa satu jam, atau dua.

Helikopter pengawal pantai pertama tidak akan sampai ke Air Terjun Kashuni sehingga lebih tiga jam selepas panggilan kecemasan pertama diterima.

Ini kerana, pantai timur laut Hokkaido dikenali sebagai “titik buta” untuk perkhidmatan menyelamat.

Pangkalan helikopter terdekat adalah sejauh 160 kilometer (100 batu).

Kebetulan pada hari Sabtu helikopter pengawal pantai yang paling dekat telah keluar dalam operasi lain.

Ia terpaksa terbang kembali ke pangkalannya, mengisi minyak, dan kemudian menuju ke utara ke Shiretoko.

Pada masa ia tiba, hanya tinggal 90 minit waktu siang.

Ketika berita ini ditulis, terdapat 15 penumpang dan anak kapal masih hilang. Usaha mencari masih giat dijalankan.

Tetapi harapan untuk mencari mangsa yang masih hidup kian pudar.

Yang ada hanya rasa marah dalam kalangan keluarga mangsa.

Lantaran itu, timbul persoalan-persoalan yang perlu dijawab. Mengapa seorang kapten yang tidak berpengalaman dibenarkan untuk dibawa ke laut dalam keadaan berbahaya dengan peralatan keselamatan yang tidak mencukupi untuk perairan beku di utara Jepun? – BBC (https://www.bbc.com/news/world-asia-61212761)