KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa supaya meluluskan segera bantuan sumbangan kepada mangsa banjir kilat di Parlimen Segambut, semalam.
Ahli Parlimennya, Hannah Yeoh berkata, beliau dan kakitangan Pusat Khidmat Segambut turun ke lokasi kejadian, mendapati ramai penduduk terkesan dengan kejadian itu.
“Memandangkan Hari Raya Aidilfitri semakin dekat dan persiapan menyambut perayaan telah terjejas dengan teruk, Perdana Menteri wajar meluluskan sumbangan tunai sekurang-kurangnya RM1,000 bagi mereka yang terkesan.
“Menteri Wilayah, Tan Sri Shahidan Kassim pula perlu mencari jalan penyelesaian masalah banjir kilat di Kuala Lumpur, yang semakin kritikal ini.
“Setiap kali berlaku, kerosakan harta benda dianggarkan berjuta-juta. Alasan taburan hujan yang tinggi sudah tidak boleh digunapakai jika modus operandi kerajaan masih tidak berubah. Ini sudah tahap bencana setiap kali hujan di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Hannah, banjir kilat yang melanda ibu kota petang semalam, telah memusnah dan merosakkan banyak harta benda.
Kata beliau, kerosakan itu dikesan berlaku di Kampung Segambut Luar, Segambut Dalam, Masjid Segambut, Segambut Bahagia, Segambut Bahagia Tambahan, Kampung Kolam Air dan Kasipillay.
“Saya sempat melawat beberapa lokasi ini dan berjumpa dengan penduduk yang terkesan akibat kejadian itu.
“Tinjauan saya di tapak kejadian menunjukkan kerosakan harta benda yang teruk. Banyak rumah dimasuki air sedalam dua kaki dan ramai penduduk terpaksa membuang tilam serta perabot rumah.
“Terdapat juga pelajar yang mengalami kerosakan buku dan beg sekolah. Kenderaan juga rosak akibat ditenggelami air,” katanya. – MalaysiaGazette