KUALA LUMPUR – Kes jenayah pecah rumah dijangka meningkat pada musim Aidilfitri tahun ini susulan peralihan ke fasa endemik.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata, Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang berkuatkuasa di seluruh negara sejak dua tahun lepas telah menyebabkan penurunan kes jenayah pecah rumah pada musim perayaan.
“Setelah dua tahun orang ramai tidak dapat pulang ke kampung, kita jangka tahun ini banyak rumah yang akan ditinggalkan kosong (ketika musim perayaan) dan ini merupakan satu cabaran bagi pihak polis untuk memastikan setiap rumah tersebut selamat dan tidak dipecah masuk pencuri,” katanya ketika ditemubual Bernama.
Beh berkata, usaha pihak polis menjalankan operasi secara berkala bagi membanteras jenayah pecah rumah akan bermula dengan Kempen Rumah Selamat.
Kempen Rumah Selamat ialah pencegahan jenayah melalui rondaan oleh anggota PDRM di kawasan taman-taman perumahan yang didaftarkan sepanjang musim perayaan.
Seramai 106 pegawai polis akan terlibat dalam kempen ini bagi daerah Sentul dan antara tempat yang disasarkan ialah Jinjang, Kepong dan Sentul.
“Hebahan telah pun dibuat kepada komuniti setempat bagi menggalakkan orang ramai mengisi borang balik ke kampung. Polis akan meronda sekurang-kurangnya sekali sehari bagi setiap rumah yang didaftarkan.
“Borang tersebut boleh diperolehi secara fizikal di Kawasan Rukun Tetangga terdekat atau melalui atas talian menerusi Facebook dan WhatsApp,” katanya.
Beh turut berpesan kepada orang ramai yang hendak pulang ke kampung supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti memastikan rumah dikunci dengan baik, memasang lampu di sekeliling rumah serta memasang kamera litar tertutup jika berkemampuan.
“Yang atas jalan raya juga diingatkan supaya berhati-hati, jangan pandu laju lebih-lebih lagi ketika hari hujan. Ingat, walaupun kita dibenarkan beraya di kampung, jaga SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi membendung COVID-19,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Taman Ehsan Kepong, Ahmad Nabil Ismail, 27, berkata beliau dan keluarga telah pun mengisi borang Kempen Keluarga Selamat sebagai antara persiapan pulang ke kampung pada Mei ini.
Ahmad Nabil berkata maklumat tentang kempen tersebut diketahui daripada kumpulan WhatsApp komuniti setempat di kawasan rumahnya.
“Kes jenayah pecah rumah beberapa kali pernah terjadi di kawasan rumah saya. Sebab itulah saya mengisi borang ini sebagai langkah berjaga-jaga sebelum pulang ke kampung untuk jangka masa yang lama,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Manakala seorang penduduk Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Nur Aqilah Aina Aizhar, 26, berkata beliau tidak pernah mendengar tentang kempen ini dan berharap lebih banyak pendedahan dilakukan.
“Ini kali pertama saya mendengar tentang kempen ini. Lagi pun kebiasaannya jiran tetangga di sini saling bantu-membantu tengokkan rumah, jadi tidak berapa risau sangat apabila pulang ke kampung,” katanya yang dihubungi Bernama. – MalaysiaGazette