KUALA LUMPUR – Debat Perdana yang akan mempertemukan dua figura politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum mendapat kelulusan lokasi daripada pihak pengurusan Pejabat Naib Cancelor Universi Malaya
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam satu kenyataan berkata, permohonan rasmi secara bertulis telah dihantar beberapa minggu lalu selepas pengumuman rasmi dibuat oleh wakil-wakil pendebat.
“Pihak kami memohon jasa baik pihak Universiti mempertimbangkan kelulusan bagi penganjuran debat ini dalam kadar segera.
“Penganjuran debat ini akan mencerminkan kepada pembudayaan diskusi ilmiah serta diskusi perihal pembuatan dasar yang perlu dimartabatkan serta komitmen Universiti sendiri terhadap perihal berikut.
“Pihak Kesatuan percaya, telah tiba masanya nafas politik baharu dan segar untuk dibawa selaras dengan perkembangan wadah politik nasional masa kini dalam meningkatkan keterlibatan serta kecelikkan politik anak-anak muda khususnya golongan mahasiswa,” menurut kenyataan tersebut.
Pada masa sama, jelas mereka, tiada wadah lain lebih sesuai dalam merealisasikan cita-cita tersebut selain daripada menganjurkan acara yang seperti ini di kampus Universiti Malaya.
“Bagi meraikan pengamalan demokrasi serta politik nilai melangkaui perbezaan fahaman politik, KMUM sekali lagi menegaskan sokongan penuh kami terhadap mana-mana penganjuran debat serta apa-apa program yang bertunjangkan diskusi kritis secara matang dan substantif.
“Ianya juga termasuk Debat Perdana antara Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Najib,” katanya.
Sebelum ini, Isham Jalil yang mewakili Najib dan Fahmi Fadzil (Anwar) dalam satu sidang media memaklumkan Debat Perdana pada 12 Mei depan akan diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada jam 9 malam.
Editor Malaysia Gazette, Haslina AR Kamaludin telah dipilih sebagai moderator untuk mengemudi program yang akan membincangkan isu Sapura Energy Bhd (SEB) serta masa depan Malaysia. – MalaysiaGazette