Home Utama Noraini redha biarpun berat dugaan ditanggung

Noraini redha biarpun berat dugaan ditanggung

Noraini Ahmad membelai Muhammad Nasrullah Tarmizi yang menghidap penyakit Cerebral Palsy pada Program CSR MG Prihatin di Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 ARIL 2022.

PETALING JAYA – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah ujian Allah ke atas seorang ibu tunggal, Noraini Ahmad, 45 selepas kematian suami lima tahun lalu.

Noraini bukan sahaja seorang ibu, bahkan dia juga menjadi ayah bagi lima orang anak termasuk seorang mengalami Celebral Palsy.

Namun, hati kecil wanita ini tidak pernah terdetik pun rasa kesal dengan ujian yang dilaluinya.

“Rabbi Yassir Wa La Tu’assir,” itulah zikir yang sentiasa membasahi bibirnya – dijadikan kekuatan untuk melunaskan tanggungjawab agar dipermudahkan menjaga dan mengurus keluarga kecilnua di Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya.

Noraini Ahmad memberi susu khas kepada Muhammad Nasrullah Tarmizi yang menghidap penyakit Cerebral Palsy. Foto HAZROL ZAINAL, 26 ARIL 2022.

Kata Noraini yang lebih mesra disapa bonda mengakui kehidupannya sekeluarga terumbang-ambing selepas peringkat awal kematian suaminya, Tarmizi.

Tetapi, Allah memudahkan kehidupannya kerana dikelilingi jiran-jiran yang cukup prihatin dengan nasib mereka sekeluarga.

“Jiran-jiran memang banyak tolong. Kakak memang tak keluar beli barang sebab tiada kenderaan. Jadi jiran-jiran akan datang bertanya keperluan yang tiada.

“Kalau nak ke hospital hantar anak pun kakak akan minta jiran hantarkan,” kata Noraini ketika MalaysiaGazette menyantuninya di rumah beliau di sini.

Kunjungan MalaysiaGazette bagi mengagihkan bantuan keperluan harian dan wang tunai kepada golongan memerlukan dalam menjayakan Program MG Prihatin 2022. Program ini hasil kerjasama MalaysiaGazette dengan penyertaan pelbagai syarikat korporat dan swasta.

Bercakap kepada wartawan MalaysiaGazette, Noraini berkata, kehidupan mereka cukup sederhana.

 

Noraini Ahmad bercakap kepada kru MalaysiaGazette yang berkunjung ke rumahnya dalam Program CSR MG Prihatin di Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 ARIL 2022.

Noraini berkata, anak-anaknya tidak pernah keluar ke mana-mana melainkan ke sekolah, hospital dan juga perkarangan pangsapuri.

Lagipun, saudara-mara jauh di mata.

Beliau berkata, dia menjadi suri rumah sepenuh masa kerana perlu menjaga dan menguruskan Muhammad Nasrullah Tarmizi.

Bagi menampung kehidupan mereka, Noraini bersyukur kerana mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM1,000 yang digunakan untuk membeli susu dan keperluan Muhammad Nasrullah serta bantuan bayaran bulanan rumah sewa sebanyak RM500.

Selain itu, dia juga mendapat faedah di bawah Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suaminya untuk perbelanjaan harian anak-anaknya.

“Tiada siapa yang berani untuk menjaga Muhammad Nasrullah yang menghidap Cerebral Palsy, jadi memang kakak menguruskan dia sepenuh masa dengan bantuan anak-anak yang lain,” katanya sambil memberitahu anaknya itu mengalami penyakit tersebut sejak umur dua tahun setengah.

Sejak itu, dia kerapkali mengalami masalah untuk makan kerana makanan selalu memasuki ruang paru-paru hingga mengakitkan jangkitan kuman.

“Tapi sekarang Alhamdulillah dia semakin ok.

“Masa tahun pertama sakit, kami ambil tiga jam untuk memberi dia makan. Hospital dah jadi rumah kedua,” katanya sambil merenung anaknya.


Noraini Ahmad membawa anaknya Muhammad Nasrullah Tarmizi yang menghidap penyakit Cerebral Palsy di sekitar tempat tinggalnya di Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 ARIL 2022.

Berkat kesabarannya menguruskan Muhammad, anak itu hanya berkunjung ke hospital enam bulan sekali untuk berjumpa doktor pakar bagi mendapatkan pemeriksaan rutin.

Muhammad juga tidak perlu lagi menjalani rawatan fisioterapi.

“Saya redha dengan ujian ini dan keredhaan ini menjadi kekuatan buat saya,” katanya perlahan.

Meskipun tumpuan diberikan kepada Muhammad namun wanita tabah ini tidak pula mengabaikan anak-anak lain.

Buktinya, ketiga-tiga anaknya yang bersekolah sering mendapat keputusan cemerlang.

Terbaharu anak sulungnya memperoleh keputusan 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK). – MalaysiaGazette