MELAKA – Balai Cerap Al-Khawarizmi menafikan mengeluarkan kenyataan kemungkinan 1 Syawal tahun ini disambut pada 2 Mei dan bukannya 3 Mei seperti yang ditularkan hari ini.
Sebaliknya, balai berkenaan dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya hari ini memaklumkan, tangkap layar melalui kiriman WhatsApp itu adalah palsu.
Menurutnya, kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (Rukyah dan Hisab) yang mana Rukyah dilakukan pada petang 29 Ramadan 1443H di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di seluruh Malaysia.
“Hasil keputusan Rukyah akan dilaporkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja – Raja pada malam 29 Ramadan 1443H dan keputusan kenampakan Hilal akan diumumkan pleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
“Sebarang pemakluman awal adalah tidak benar sehingga hasil keputusan Rukyah pada 29 Ramadan 1443H diterima dan selesai dilakukan,” katanya.
Terdahulu, tular kenyataan tangkap layar yang didakwa dikeluarkan pihak Balai Cerap Melaka meminta umat Islam bersedia untuk kemungkinan tarikh 1 Syawal tahun ini berubah kepada awal sehari daripada yang tertera di kalendar.
Keadaan itu, kononnya disebabkan perkiraan syarat kenampakan Hilal Imkanurukyah tahun ini mengikut format baharu. – MalaysiaGazette