KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengesan dan menahan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik sempena operasi sempena hari raya kali ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, mereka yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap biasanya susah untuk dicari pada hari biasa dan ketika orang ramai balik kampung beramai-ramai bermula Jumaat ini mereka lebih mudah dikesan.
“Justeru, mereka yang memiliki waran tangkap dan saman tunggakan trafik jika dikesan di lebuh raya nanti akan ditahan serta merta di atas jalan dan akan dibawa ke balai berhampiran untuk proses dokumentasi jaminan dan kemudian akan diminta menghadirkan diri ke mahkamah untuk tindakan,” katanya .
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Op Selamat Aidilfitri 2022 bertemakan “Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi” di Menara TM, Jalan Pantai Baharu di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Telekom Malaysia Berhad, Tan Sri Mohammed Azlan Hashim dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim serta Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.
Selain itu, menurut Razarudin, PDRM akan mengoptimumkan penggunaan alat In-Car Radar sepanjang laluan lebuh raya di seluruh negara sempena Operasi Selamat Aidilfitri bermula 29 April hingga 8 Mei 2022.
Razarudin berkata, PDRM juga akan memperluaskan penggunaan alat iCOPS bagi mengesan dan menahan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik pada operasi kali ini.
“”Alat In-Car Radar ini akan membolehkan semua kereta peronda polis MPV mengesan mana-mana kenderaan yang terbabit dalam kegiatan jenayah serta pemilik yang memiliki rekod jenayah dikehendaki polis.
Tambah Razarudin, sepanjang operasi ini berlangsung, PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman bakal melaksanakan OP Lancar di kawasan hotspot yang dijangka akan berlaku kesesakan lalu lintas di seluruh negara akibat pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula ke kediaman selepas tamatnya musim perayaan.
“Dijangka sebanyak dua juta hingga empat juta kenderaan akan berada di atas jalan raya pada satu masa ketika balik kampung di seluruh negara dan polis dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain akan terus memantau situasi supaya selamat untuk pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan,” ujarnya.
Di samping itu, JSPT juga akan menjalankan pemantauan ke atas kenderaan perdagangan agar mematuhi waktu larangan berada di lebuh raya dan jalan raya bagi memastikan aliran lalu lintas bergerak lancar.
Malah katanya, JSPT juga akan menggunakan pendekatan berteraskan total enforcement and services iaitu menjalankan penguatkuasaan operasi secara tegas dan bersasar bagi menurunkan kadar kemalangan biasa dan kemalangan maut.
“Tindakan saman serta merta akan dikenakan kepada pengguna jalan raya yang melakukan lima kesalahan memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong barisan dan tidak mematuhi lampu isyarat.
“Manakala bagi kesalahan yang keenam iaitu menggunakan alat komunikasi semasa memandu, ia tidak boleh dikenakan kompaun tetapi pesalah perlu hadir ke mahkamah untuk perbicaraan.
“Bagi konsep sub-tek pula, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan peringkat kontinjen dengan melibatkan elemen-elemen JSPT dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).
“Ia sebagai salah satu strategi bagi mengurangkan kadar kemalangan dengan memberi tumpuan khususnya di lokasi-lokasi blackspot dan melancarkan aliran trafik,” tegasnya.
Razarudin juga memaklumkan segala informasi terkini mengenai aliran trafik sepanjang Ops Selamat Aidilfitri akan dimuat naik di media sosial rasmi JSPT secara berterusan.
“Dalam masa yang sama, masyarakat juga boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan sebarang kesalahan jalan raya yang dikesan dengan berkongsi,” tegasnya.
Pada masa yang sama, seluruh jentera PDRM di peringkat kontinjen yang melibatkan anggota-anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan bit serta risikan dan operasi akan diatur gerak secara holistik dan sistematik.
“Langkah itu dilaksanakan untuk mencapai dua objektif utama yang disasarkan pada Op Selamat kali ini iaitu pertama Keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan, dan meminimumkan kes kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan kes kemalangan maut,” tegasnya.- MalaysiaGazette