Home Nasional Hannah, Musa setuju mediasi selesai saman fitnah

Hannah, Musa setuju mediasi selesai saman fitnah

TAN SRI MUSA HASSAN

KUALA LUMPUR – Tan Sri Musa Hassan dan Ahli Parlimen Segambut (DAP), Hannah Yeoh bersetuju untuk proses mediasi bagi menyelesaikan saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara itu.

Hannah sebelum itu menyaman Musa atas kenyataan beliau yang didakwa berbaur fitnah ketika berucap dalam forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 30 Januari 2019.

Bercakap dengan media, peguam mewakili Musa, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengesahkan 13 Mei adalah tarikh bagi proses berkenaan.

Perkara itu turut disahkan oleh peguam Yeoh, Lim Wei Jiet.

Hannah Yeoh SOSMA PH UMNO MPs absent
Hannah Yeoh

Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan pada forum bertajuk ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’

Dakwa bekas Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita dan Keluarga, ucapan Musa tidak benar, menyusahkan, palsu, salah dan tidak berasas selain dirancang terlebih dahulu, dibuat dengan niat jahat, mencemarkan nama baik, memfitnah serta memusnahkan reputasi plaintif.

Hannah juga telah memohon mahkamah mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang Musa atau pihak berkaitan menyebut, menerbit atau menyebabkan untuk diterbitkan perkataan yang didakwa berunsur memfitnah selain menuntut ganti rugi umum, teruk serta teladan dan kos serta relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Sebelum ini juga, Musa juga pernah cuba dua kali untuk memfailkan permohonan membatalkan saman fitnah terhadapnya namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi kemudian Mahkamah Rayuan.

Hannah kemudian memfailkan semula saman itu terhadap Musa dan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusoff.-MalaysiaGazette