MILAN – Penyerang Romelu Lukaku dilaporkan mahu kembali semula ke kelab Inter Milan dan bersedia untuk berkorban walaupun gajinya semakin berkurangan.
Calciomercato melaporkan, Inter turut terbuka menerima kepulangan semula penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan kebangsaan Belgium itu.
Penyerang antarabangsa Belgium itu meninggalkan Inter pada musim panas lalu secara mengejut.
Ini selepas dia tiba-tiba meminta untuk dijual ke Chelsea hanya selepas beberapa minggu dia menyatakan mahu terus kekal di Inter walaupun Antonio Conte sudah tidak bersama kelab itu.
Lukaku menjadi watak penting kejuaraan Serie A buat Inter pada musim 2020/21 apabila dia menjaringkan 64 gol dalam 95 penampilan untuk Nerazzurri.
Ianya sekaligus menamatkan kemarau kejuaraan Serie A buat Inter sejak 2010.
Sejak menyertai Chelsea dia gagal mengulangi semula prestasinya dalam skuad Thomas Tuchel.
Dia turut mencetuskan kontroversi dalam satu wawancara dengan mengkritik taktikal Tuchel menjadi punca dia gagal mendapatkan gol.
Lukaku memberitahu dia mahu pulang semula ke Inter pada suatu hari nanti yang membuatkan Tuchel serta penyokong Chelsea bengang.
Calciomercato melaporkan bahawa Simone Inzaghi terbuka untuk membawa pulangĀ Lukaku namun Inter lebih memilih perjanjian pinjaman semusim diikuti dengan obligasi pembelian tetap.
Bukan itu sahaja, pemain berusia 28 tahun itu juga harus sedia mengurangkan gajinya yang sangat jauh bezanya dengan apa yang dia dapat di Inter sebelum ini.
Namun Inter bukannya satu satunya kelab yang mahukan Lukaku kerana Spurs turut berminat dengan Lukaku kerana Conte. – Agensi