Home Politik Ahmad Idham sertai Bersatu

Ahmad Idham sertai Bersatu

Ahmad Idham (kiri) menyerahkan 30 borang keahlian baharu bagi cawangan Pinggiran Ukay kepada Abdul Rashid (tengah), sambil diperhatikan Mohd Isa (kanan) dalam majlis berbuka puasa, minggu lalu.

KUALA LUMPUR – Desas-desus mendakwa Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyertai dunia politik akhirnya terjawab apabila pelakon dan pengarah filem itu dilantik sebagai Ketua Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pinggiran Ukay, Ampang, Sabtu lalu.

Ahmad Idham, 48, berkata, dia bersyukur bermula satu lagi lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya.

“Sebelum ini, saya tiada niat menyertai dunia politik secara serius. Umumnya mengetahui saya pernah bekerja dengan menteri, jadi, saya hanya menyokong usaha dilakukan.

“Namun, saya memperjuangkan Hab Pendidikan Khas dan menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) selepas kontrak ditamatkan.

“Saya mahu mewujudkan satu sistem sokongan komuniti dalam mempertingkatkan pembangunan dan kesedaran terhadap Hab Pendidikan Khas untuk golongan anak istimewa sekitar Ampang.

“Tidak sangka pula mendapat perhatian masyarakat setempat dan kepimpinan parti Bersatu,” katanya kepada BH Online.

Pengarah filem Adnan Sempit dan Hantu Bonceng itu berkata, dia dilantik sebagai Ketua Cawangan Bersatu Pinggiran Ukay dalam Majlis Berbuka Puasa BERSATU Ampang, baru-baru ini.

“Saya menyambut baik ucapan Ketua Bahagian Bersatu Ampang, Mohd Isa Mohd Saidi. Perjuangan saya memberikan impak positif kepada masyarakat yang mempunyai anak istimewa, selain selari asas perjuangan parti untuk memberikan khidmat dan atas keprihatinan bangsa berbilang kaum.

“Pelantikan saya disaksikan Pengerusi Perhubungan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari. Ini adalah satu tanggungjawab besar untuk dipikul.

“Namun, saya komited demi memastikan perjuangan Hab Pendidikan Khas dan usaha membina sistem sokongan komuniti yang mapan dapat direalisasikan,” katanya.

Ahmad Idham berkata, ideologinya bukan mengejar pangkat dan jawatan, sebaliknya mahu memperjuangkan Hab Pendidikan Khas yang masih kritikal di Malaysia.

“Jujurnya, saya tidak sangka Bersatu Ampang berminat dengan perjuangan ini. Saya percaya Hab Pendidikan Khas boleh dikembangkan ke peringkat negeri dan nasional dengan adanya sokongan ini.

“Saya terharu Bersatu Ampang mahu memperjuangkan pendidikan anak-anak istimewa ini bersama,” katanya.

Mengulas bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di bawah tiket Bersatu seperti dakwaan yang pernah tersebar, Ahmad Idham berkata, biarlah kerjanya berbicara.

“Itu bukanlah persoalan yang perlu saya jawab. Bukan kuasa saya menentukan bakal bertanding atau sebaliknya.

“Saya percaya jika perjuangan saya berjaya, rezeki akan sampai. Jadi, biarlah masyarakat menilai kerja saya.

“Lagi pun, usaha memperjuangkan Hab Pendidikan Khas ini bukan baru bermula. Saya dan isteri, Amy Aziz sudah mengusahakan Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus sejak 14 tahun.

“Tadika ini juga adalah tadika pertama di Bukit Indah yang memperkenalkan kaedah montessori. Saya memang berhasrat menjadikan Ampang sebagai Hab Pendidikan Khas dan insya-Allah, saya akan kembangkan ke seluruh Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Idham berkata, dia mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepimpinan Bersatu Selangor kerana melihat perjuangan ini sebagai usaha besar untuk masyarakat khususnya golongan anak-anak istimewa.

“Terima kasih memberikan ruang kepada saya untuk terus mengangkat perjuangan Hab Pendidikan Khas ke peringkat lebih tinggi.

“Semoga Allah mengizinkan dan memberikan kekuatan kepada saya memikul amanah serta tanggungjawab ini sebaiknya,” katanya yang turut menyerahkan 30 borang keahlian baharu bagi cawangan Pinggiran Ukay kepada Abdul Rashid dalam majlis berbuka puasa, minggu lalu. – MalaysiaGazette