Home Politik PRU15: Pejuang hasrat bertanding di Sabah – Mukhriz

PRU15: Pejuang hasrat bertanding di Sabah – Mukhriz

Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Datuk Seri Mukhriz Mahathir

KOTA KINABALU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berhasrat untuk bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Presidennya Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Mukhriz, bagaimanapun berkata parti itu belum membuat sebarang keputusan berkaitan jumlah kerusi dan kawasan ditandingi di negeri ini pada PRU15.

“Insya-Allah, kita (Pejuang) akan menyertai pilihan raya umum termasuk di Sabah tetapi belum ada keputusan dibuat berkaitan jumlah kerusi, di mana (kawasan) hendak bertanding dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar bersama Pejuang Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pejuang Sabah Nicholas Sylvester Abdullah.

Mengenai Pejuang Sabah, Mukhriz berkata ia akan dilancarkan secara rasmi di negeri ini pada 22 Mei ini, selain pihaknya turut bercadang untuk memperluaskan lagi pengaruh parti itu di semua 25 kawasan Parlimen seluruh Sabah sebagai antara persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Mukhriz berkata Pejuang berharap dapat membuka cawangan di semua kawasan Parlimen itu dan pada masa ini mempunyai 16 cawangan yang sekali gus menjadi negeri ketiga mempunyai keahlian paling ramai selepas Kedah dan Selangor.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya bersikap terbuka untuk membuat perbincangan mengenai jalinan kerjasama dengan mana-mana parti bagi mendepani PRU15 bukan hanya di Sabah tetapi juga di Semenanjung Malaysia.

Katanya semua pihak walaupun mempunyai perbezaan ideologi politik, namun masing-masing memiliki persamaan iaitu untuk mengubah corak politik negara sepertimana pada PRU14 lepas.

Mengulas agenda “khemah besar” dibawa oleh Pakatan Harapan (PH), Mukhriz berkata Pejuang ingin mendengar dan memahami terlebih dahulu maksud sebenar tawaran itu.

“Apa peranan setiap parti termasuk kami yang dianggap sebagai parti kecil, hanya empat ahli Parlimen. Jadi kita mahu beri ruang kepada mereka untuk menerangkan maksud sebenar ‘khemah besar’ itu.

Kalau ingat zaman PH pasca PRU14, ’khemah besar’ yang diwujudkan ketika itu memberi ruang kepada semua parti tidak kira berapa jumlah kerusi dimenangi penyertaan dalam jemaah menteri. Itu satu pendekatan. Jadi kita nak faham apakah pendekatan seperti itu juga hendak diamalkan atau ada pihak tertentu akan mendominasi ‘khemar besar’ tersebut,” katanya.- BERNAMA