KUALA LUMPUR – Aktres Nur Fazura mencuri tumpuan netizen selepas tular sebuah video memaparkan dia berbelanja puluhan beg tangan jenama mewah Coach untuk dihadiahkan kepada stafnya.
Dalam video tersebut, Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 39, sibuk menyusun dan mengagih beg-beg tersebut sebelum diberikan kepada semua stafnya terdiri daripada wanita dan lelaki.
“Fazura berhabis puluhan ribu ringgit untuk hargai staf. Fazura juga belanja saya beg! Terima kasih,” tulisnya.
Perkongsian berkenaan pantas menuai perhatian netizen yang rata-ratanya memuji kemuliaan hati pelakon itu kerana tidak pernah berkira menghadiahkan barangan mewah kepada pekerjanya.
Terdahulu, tudung keluarannya iaitu Tudung Fazura berjaya terjual sebanyak 80,000 helai dalam tempoh dua jam selepas dilancarkan pada Ogos tahun lalu dengan jumlah jualan dianggarkan mencecah RM2.16 juta.
Malah penjualan koleksi tudung terbaharunya, Rahmat Ramadan semakin meluas dan mendapat sambutan hangat apabila sekali lagi berjaya terjual sebanyak 200,000 helai pada Februari lalu.
Ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu menjual koleksi tudungnya dengan harga RM27 dengan niat membantu golongan terkesan akibat Covid-19.
Malah baginya, angka 27 mempunyai nilai sentimental buat dirinya iaitu tarikh ulang tahun kelahirannya serta tarikh Fattah melamarnya. – MalaysiaGazette