Home Seni Hidup PM temankan 54 anak, cucu angkatnya beli baju raya

PM temankan 54 anak, cucu angkatnya beli baju raya

Kanak-kanak dari Rumah Raudhatul Al-Faeez memilih baju sebagai persiapan menjelang hari raya pada Program Membeli Belah Aidilfitri Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Membeli Belah IoI City Mall Putrajaya. Foto MUH NA'IM, 28 APRIL 20202.

PUTRAJAYA – Kesibukan menguruskan negara tidak menghalang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengembirakan anak dan cucu angkatnya yang terdiri daripada mereka yang yatim piatu.

Sempena kehadiran Syahwal yang akan disambut tidak lama lagi, Ismail Sabri yang dipanggil ‘atuk’ itu menemani 54 anak yatim piatu itu membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri di sebuah pusat beli belah di sini selama satu jam.

Kesemua mereka diambil sebagai anak dan cucu angkat sebelum Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri lagi.

Ini termasuk lima anak pasangan Jefri Mohd Zain dan Noorsalawati Ibrahim yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Cheras susur Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada 23 Mei 2014.

Ismail Sabri turut menjadikan dua anak pasangan Fairuz Nizam dan Nova Safitri Azhari yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di KM 6.2 Lebuhraya DUKE pada 3 Mei 2015.

Selain itu beliau juga menjadikan anak-anak yang kehilangan ibu dan ayah akibat Covid-19 daripada dua keluarga sebagai anak angkat.

Ini termasuk lapan orang anak pasangan Benyajeed Bernie dan Noraini Ibrahim yang meninggal dunia pada Julai 2021 serta lima orang anak pasangan Mohd Nasil Tahal dan Ida Haryanie yang meninggal dunia pada Ogos dan Oktober 2021.

Selebihnya merupakan anak yatim yang tinggal di Raudhatul Alfaeez yang pengurusannya dibiayai sendiri oleh Ismail Sabri.

Menurut beliau, kesemua anak yatim itu begitu rapat dengannya.

“Setiap tahun saya bawa mereka membeli persiapan raya bersama-sama. Untuk mengembirakan hati mereka sempena sambutan raya. Semua gembira, kita waktu kecil pun macam tu gembira bila dapat beli baju baru.

“Walaupun kesempatan nak jumpa selalu itu tak ada tapi sekurang-kurangnya setahun sekali bersama mereka iaitu waktu puasa dan raya. Sebab itu mereka kenal saya secara peribadi.

“Dulu-dulu, malam sebelum hari raya, saya akan bersama antara mereka untuk main bunga api, makan-makan dan sebagainya,” kata Ismail Sabri.

Seorang anak yatim memilih baju sebagai persiapan menjelang hari raya pada Program Membeli Belah Aidilfitri Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Membeli Belah IoI City Mall Putrajaya. Foto MUH NA’IM, 28 APRIL 20202.

Sementara itu rata-rata anak-anak yatim tersebut mengambil kesempatan membeli-belah bersama Ismail Sabri untuk melepaskan rindu kepada beliau.

Ini kerana mereka jarang berjumpa kerana kesibukan Ismail Sabri menguruskan negara.

“Rindu pada atuk. Terima kasih belanja beli baju raya,” kata Nur Auni Syaria yang merupakan anak bongsu Jefri Mohd Zain dan Noorsalawati Ibrahim.

Nur Auni Syaria dan kakaknya,-Foto MUH NA’IM, 28 APRIL 20202.

Sementara anak Fairuz Nizam dan Nova Safitri Azhari iaitu Nur Fizura Amira dan Nur Firuza pula berkesempatan memberikan Ismail Sabri biskut coklat yang dibuat sendiri.

“Kami buat sendiri malam tadi. Beri pada atuk,” kata salah seorang daripada mereka malu-malu.

Ibu saudara kedua kanak-kanak itu, Yusnida Husain melahirkan perasaan terharu terhadap sikapĀ  Ismail Sabri yang tidak melupakan mereka walaupun selepas menjadi Perdana Menteri.

“Alhamdullilah, dia sangat menolong kami. Rasa bebanan yang ada menjadi sangat ringan. Walaupun dia telah jadi Perdana Menteri, dia tak pernah melupakan kami.

“Dia mesej tanya keadaan Amira dan Aqila, sihat atau tidak. Malah dia turut menelefon untuk bercakap dengan mereka. Perdana Menteri ini memang lain daripada yang lain,” katanya.

Selain di Lembah Kelang, Ismail Sabri turut mempunyai anak angkat di negeri lain terutama di Pahang. – MalaysiaGazette