PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini membenarkan rayuan Datuk R. Sri Sanjeevan untuk merayu sabitan dan hukuman penjara tiga bulan serta denda RM7,000 atas dakwaan memeras seorang pekerja sebuah kedai pada 2013.
Tiga panel hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said bersama-sama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara membenarkan permohonan Sanjeevan.
Sekiranya Sanjeevan tidak berjaya dalam permohonan bereknaan, bekas Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) terpaksa menjalani perintah hukuman penjara hari ini.
Sanjeevan dibenarkan oleh panel hakim untuk mengemukakan sembilan persoalan undang-undang yang akan dihujahkan dalam rayuan kelak.
Tertuduh sebelum ini sabit kesalahan kerana meminta wang tunai sebanyak RM1,500 atau tidak boleh berniaga di Jalan Dagangan 8, Pusat Komersial Triang, Bera, Pahang pada 1 Julai 2013.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret telah menyabit dan jatuh hukum penjara tiga bulan serta denda RM7,000 terhadap Sanjeevan sebelum keputusan itu dirayu di Mahkamah Tinggi Temerloh.
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara tiga bulan sementara menunggu rayuannya didengar dan dilupuskan pada Disember 2020.
Sanjeevan turut diperintahkan membayar jaminan sebanyak RM35,000 dengan dua penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga rayuan selesai selain melapor diri di Balai Polis Semenyih, Kajang. – MalaysiaGazette