Home Utama Walaupun percuma, hampir 6 juta tak manfaatkan PeKa B40 – KJ

Walaupun percuma, hampir 6 juta tak manfaatkan PeKa B40 – KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melancarkan Laporan Tahunan PeKa B40 bagi tahu 2020-2021 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 28 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Laporan Tahunan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi tahun 2020 -2021 mendedahkan ramai daripada golongan itu tidak memanfaatkan ujian saringan kesihatan percuma.

Daripada data yang dikongsikan oleh syarikat pengendali PeKa B40, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd menunjukkan sejumlah 5.9 juta yang layak masih belum mendapatkannya.

Skim yang diperkenalkan pada 15 April 2019 itu hanya berjaya menyaring seramai 582,746 orang sehingga 31 Mac lalu.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin daripada saringan yang dibuat seramai 186,610 orang dikesan mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit (NCD).

Khairy berkata, selepas pasca Covid-19, pihaknya akan memberi tumpuan bagi mengesan dan merawat NCD dalam kalangan rakyat.

“Satu adalah untuk memastikan bahawa inisiatif kita dapat dilaksanakan secara besar-besaran. Ini bukan keadaan di mana kita tidak ada program, tidak ada peruntukan dan kita tidak ada kemudahan.

“Kita ada kemudahan. Ianya percuma dan bayangkan hanya setengah juta sahaja daripada hampir enam juta yang layak yang telah manfaatkan saringan kesihatan.

“Ini adalah benda yang baik benda yang percuma dan bukan susah sangat pun kalau kita hendak usahakan supaya kita dapat saringan kesihatan melalui PeKa B40 ini,” katanya dalam ucapan pelancaran.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Datuk Dr. Anas Alam Faizli.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melancarkan Laporan Tahunan PeKa B40 bagi tahu 2020-2021 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 28 APRIL 2022.

Khairy berkata, melalui ujian saringan itu, kementerian boleh melakukan tindakan dengan memberikan rawatan sebelum kesihatan seseorang menjadi bertambah teruk sekaligus mengurangkan beban kewangan kesihatan negara.

Selain Sariangan Kesihatan, PeKa B40 turut menyediakan Bantuan Alat Perubatan, Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser dan Insentif Tambang Pengangkutan.

Tiga penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tertinggi dalam kumpulan B40 yang dikesan adalah darah tinggi (29.8%), kolestrol tinggi (29.2%) dan diabetes (19.8%).

Skim tersebut telah menerima 38,708 permohonan bantuan alat perubatan dan sebanyak 30,864 telah diluluskan.

Bagi tahun 2021 sahaja 15,126 permohonan bantuan alat perubatan telah diterima dan sejumlah 12,924 permohonan diluluskan.

Permohonan tertinggi adalah bagi mendapatkan alat Intraocular Lense iaitu 47.7 peratus, alat pendengaran (22.5 peratus) dan stent jantung (6.7 peratus).

Sebanyak RM29.8 juta telah dibelanjakan bagi faedah bantuan alat perubatan iaitu alatan pembedahan dan alatan bukan pembedahan.

Alatan bantuan pendengaran mencatatkan jumlah bayaran tertinggi iaitu RM12.5 juta diikuti nutritional support (RM3.5 peratus) dan joint arthroplasty (RM3.2 juta).

Bagi insentif melengkapkan rawatan kanser berjumlah RM1,000 sebanyak 4,721 permohonan diluluskan pada 2021.

Tiga jenis kanser tertinggi dikesan dalam kalangan B40 iaitu kanser payudara (28.7 peratus), digestives system canser group (20.8 peratus) dan Ear, Nose and Throat canser group (13.3 peratus).

Sebanyak 9,569 (97.5 peratus) daripada 9.811 permohonan diluluskan bagi insentif tambang pengangkutan. Jumlah yang diberikan adalah RM500 bagi Semenanjung dan RM1,000 bagi Sabah dan Sarawak.- MalaysiaGazette