Home Nasional Jangan alpa keselamatan diri dan harta benda semasa balik kampung

Jangan alpa keselamatan diri dan harta benda semasa balik kampung

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Kassim (kanan) bersama Pengurus Besar Kanan U Mobile, Eric Liew Sze Yam (kiri) menyempurnakan gimik 'flag off' pada Majlis Pelancaran Op Selamat 18 Hari Raya Aidilfiri di Ibu Pejabat Balai Polis Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Warga kota yang akan pulang ke kampung  bermula esok diingatkan agar tidak alpa dalam menjaga aspek keselamatan diri dan harta benda di sebalik keterujaan menyambut  Syawal.

Ketua Polis Kuala Lumpur,  Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kontinjennya akan memberi fokus terhadap keselamatan diri dan harta benda warga kota yang akan meninggalkan rumah mereka untuk pulang beraya  sepanjang Operasi Selamat ke 18 Aidilfitri Peringkat Kuala Lumpur 2022 bermula esok hingga 8 Mei ini.

Sempena sambutan kali ini daripada lebih 9,000 kekuatan pegawai dan anggota yang ada hanya 10 peratus sahaja dibenarkan pergi bercuti.

“Yang selebihnya akan terus kekal di ibu negara dan Putrajaya bekerja seperti biasa manakala seramai 670 orang akan terlibat dalam Op Selamat di lapangan bertujuan memastikan keselamatan diri dan harta benda sentiasa terjamin selamat.

“Sekiranya beraya di KL dan Putrajaya pastikan rumah sentiasa berkunci, kadang-kadang kita leka disebabkan oleh menerima tetamu dan juga tak kunci rumah kononnya nak keluar beraya kejap yang mungkin boleh sebabkan rumah kita mungkin berlaku jenayah tak diingini,” katanya dalam sidang media Ibu Pejabat Jabatan Siasatan dan penguatkuasaan Trafik di Jalan Tun H.S.Lee hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Kassim bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Pelancaran Op Selamat 18 Hari Raya Aidilfiri di Ibu Pejabat Balai Polis Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 APRIL 2022.

Tambah Azmi, objektif kempen kerana mahu mengingatkan semula mereka mengenai penjagaan keselamatan.

Ditanya sama ada polis menjangkakan indeks jenayah akan naik selepas disebabkan warga kota pulang beraya, Azmi berpendapat ia bergantung sepenuhnya kepada kerjasama yang diberikan warga kota.

“Sama ada akan naik indeks jenayah, kita akan mengambil segala inisiatif dan tindakan yang perlu bagi memastikan jenayah dikekang.

“Namun kita tidak akan berjaya sekiranya masyarakat tidak memberi kerjasama baik kepada polis atas apa yang saya syorkan tadi, tolong bantu kita untuk bantu anda menjamin keselamatan sejagat sepanjang tempoh musim perayaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette