SINGAPURA – Mahkamah Tinggi Singapura pada Khamis membenarkan penangguhan hukuman mati terhadap warga Malaysia K Datchinamurthy, yang sepatutnya menjalani hukuman pada Jumaat, 29 April, dua hari selepas pelaksanaan hukuman Nagaenthran Dharmalingam.
Menurut peguam Singapura, M Ravi, kebenaran penangguhan itu diberikan berasaskan alasan “menunggu keputusan perbicaraan berhubung dakwaan pelanggaran peraturan penjara yang dijadual pada 20 Mei”.
“Datch (Datchinamurthy) sepatutnya dihukum gantung esok,” kata M Ravi dalam hantaran terbaharunya di Facebook.
Datchinamurthy, 36, didakwa mengedar 44.96 gram (g) diamorphine ke Singapura pada 2011 dan dihukum mati pada 2015, manakala Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009.
Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman difailkan sendiri oleh Datchinamurthy dan perbicaraan mengenai penangguhan itu dibuat secara tertutup pada 9.30 pagi Khamis.
M Ravi sebelum ini menjadi peguam untuk Datchinamurthy berkata perbicaraan yang dijadual pada 20 Mei adalah berkait mengenai aduan terhadap peguam negara mengenai hak komunikasi antara banduan dengan peguamnya.
“Isunya adalah apakah mereka boleh menggantungnya pada Jumaat 29 April ketika ada perbicaraan dijadualkan pada 20 Mei,” tulisnya.- BERNAMA