SARIKEI – Lapan unit kedai dua tingkat yang menempatkan bengkel kereta, bengkel kimpalan, unit kediaman serta ruang ternakan burung walit, musnah dalam kebakaran di Jalan Industri di sini semalam,
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata tindakan pantas pihak bomba membolehkan empat unit rumah kedai yang terletak bersebelahan berjaya diselamatkan dalam insiden pada kira-kira pukul 7 malam itu.
Beliau berkata, api marak dengan pantas berikutan dinding pemisah ruang dan lantai bangunan itu diperbuat daripada kayu, selain terdapat pelbagai bahan mudah terbakar disimpan di bengkel kereta berkenaan.
“Satu pasukan dari BBP Sarikei dan satu dari BBP Bintangor telah digerakkan ke lokasi sebaik sahaja pihak kami menerima panggilan pada pukul 7.31 malam. Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.33 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 2.48 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya sebuah lori skylift milik seorang pengusaha bengkel berdekatan turut sama membantu dalam usaha pemadaman api bagi menghalang kebakaran itu merebak.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – Bernama