MELAKA – “Sebelum ini, setiap kali Aidilfitri, saya akan menumpang beraya di rumah jiran atau kakak, tapi nampaknya Syawal tahun ini diraikan penuh makna bila dapat perabot terpakai seperti baharu,” kata Rosli Hussein.
Itu kegembiraan dikongsikan lelaki yang hidup sebatang kara di Kampung Solok Tanah Wakaf, Pulau Gadong, Klebang di sini sejak 29 tahun lalu selepas menerima sumbangan perabot terpakai daripada Butik Rakyat 3.0 sebagai persediaannya meraikan Aidilfitri tahun ini.
Menurutnya, dia tidak menyangka terpilih menerima bantuan itu kerana sebelum ini hanya sekadar menjadi mimpi memiliki sofa dan meja makan baharu.
“Saya tak sangka, walaupun tinggal sebatang kara di sini, masih ada pihak yang mengambil berat dan simpati dengan nasib hidup selain kakak dan abang yang juga ada menjaga kebajikan saya.
“Sejak kesihatan diri merosot akibat penyakit asma, buah pinggang dan kencing manis lima tahun lalu, keadaan rumah memang tidak terjaga tapi hari ini ada pihak luar yang sanggup datang bersihkan rumah selain berikan saya perabot terpakai yang kelihatan seperti baharu.
“Terharu dan sebak rasanya hati kerana selepas ini tidak perlu lagi saya menumpang beraya rumah jiran di pagi Syawal sambil menangis mengenangkan nasib diri,” kata lelaki yang berusia 55 tahun itu ketika ditemui pemberita di rumahnya, di sini, hari ini.
Bercerita lanjut, Rosli berkata, kehidupannya menjadi tidak menentu selepas kematian ibu dan bapanya hampir 30 tahun lalu menyebabkannya terpaksa tinggal sendirian di tanah pusaka keluarganya itu.
“Sebelum sakit pada 2017, ada juga pendapatan bulanan bekerja sebagai pembantu kedai kek selama 15 tahun, tapi bila dah sakit, saya hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.
“Jangan kata hendak hias rumah, makan minum pun saya terpaksa minta bantuan jiran, kadang-kadang terpaksa pinjam RM10 untuk beli makanan,” katanya sebak.
Sementara itu, Pengasas Butik Rakyat 3.0 Datuk Mohd Yusof Abu Hasan berkata, bantuan perabot itu adalah hasil sumbangan sebuah syarikat pengangkutan yang prihatin dengan nasib dialami Rosli.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar berkata, selain sumbangan dalam bentuk barangan dan tenaga, pihak syarikat berkenaan juga memberikan sumbangan wang tunai RM500 kepada Rosli.
“Kita harap, dengan adanya sumbangan kecil ini ia dapat menceriakan golongan kurang bernasib baik sempena Syawal yang dijangka disambut 3 Mei ini.
“Inilah konsep rakyat yang kita mahu tonjolkan yang mana selain daripada bantuan kerajaan, rakyat yang berkemampuan juga boleh turut sama menyumbang,” katanya. – MalaysiaGazette