Home Rencana Pembedahan artroskopi untuk masalah sendi

Pembedahan artroskopi untuk masalah sendi

Artroskopi merupakan pembedahan sendi menerusi lubang-lubang kecil (portal) menggunakan sistem kamera dan peralatan khusus.- Gambar hiasan.

PEMBEDAHAN artroskopi merupakan teknik dan teknologi perubatan terkini yang memberikan hasil rawatan terbaik bagi merawat pelbagai jenis masalah sendi terutamanya sendi bahu, lutut dan buku lali.

Pakar Bedah Ortopedik, Artroskopi & Sukan Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr. Taran Singh Pall Singh berkata, artroskopi merupakan pembedahan sendi menerusi lubang-lubang kecil (portal) menggunakan sistem kamera dan peralatan khusus.

“Banyak kelebihan pembedahan artroskopi berbanding pembedahan terbuka. Paling ketara ialah saiz luka yang lebih kecil, kurang risiko pendarahan dan kurang risiko jangkitan kuman.

”Selain itu, hampir tiada kesan parut, proses penyembuhan yang lebih pantas dan tempoh rawatan di hospital yang lebih singkat.

“Malah, bahagian yang dibedah dapat kembali berfungsi dengan lebih cepat berbanding pembedahan biasa,” katanya baru-baru ini.

 

Dr. Taran Singh Pall Singh

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Taran menambah, terdapat pelbagai penyakit sendi yang boleh dirawat melalui pembedahan artroskopi. Bagi sendi bahu keadaan seperti dislokasi bahu yang berulangan, urat (tendon) bahu terkoyak, artritis (radang sendi), kecederaan rawan, bahu beku (frozen shoulder) dan himpitan (impingement) dalam bahu.

”Sementara itu, bagi sendi lutut pulak, kecederaan kepada ligamen lutut ACL (anterior cruciate ligament) dan PCL (posterior cruciate ligament), kecederaan pelapik sendi (meniscus), kecederaan rawan, radang sendi dan sendi keras (arthrofibrosis) selepas trauma (bagi membuang tisu parut).

Dalam pada itu, Dr. Taran memberitahu, pembedahan artroskopi bukan menjurus kepada kecederaan sukan melibatkan golongan muda semata-mata.

Pelbagai jenis penyakit sendi yang diakibatkan oleh proses degenerasi dan masalah kesihatan lain yang dialami oleh mereka berumur empat puluhan ke atas turut boleh dirawati.

INFO

Kelebihan pembedahan artroskopi:

1. Saiz luka yang lebih kecil

2. Kurang risiko pendarahan dan jangkitan kuman

3. Hampir tiada kesan parut (kosmetik)

4. Proses penyembuhan yang lebih pantas

5. Tempoh rawatan di hospital yang lebih singkat

6. Kembali berfungsi dengan lebih cepat berbanding pembedahan biasa

7. Teknik pembedahan yang lebih tepat (precision work) dan selamat.- MalaysiaGazette

Artikel sumbangan Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Perlis, MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM.