HULU SELANGOR – Calon yang bertanding dalam pemilihan parti PKR diingatkan supaya tidak merosakkan nama parti semata-mata mahu meraih undi.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sudah menjadi adat bertanding jika terdapat serangan dan provokasi namun nama baik parti perlu dijaga.
“Saya rela dikritik, diserang dengan macam-macam tuduhan, dakwaan. Tetapi jangan kamu sentuh nama parti. Jangan kamu ghairah sehingga merosakkan sekali nama parti yang selama ini menjadi wadah dan platform untuk kita semua dalam membawa agenda reformasi ini.
“Individu, kamu seranglah. Tapi parti jangan sesekali kamu sentuh,” katanya di Wisma Gapimas, di sini, malam tadi.
Saifuddin yang akan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR berkata, beliau telah bersama parti itu sejak awal penubuhannya dan kesetiaannya tidak pernah berubah sejak 23 tahun lalu.
“Tidak kira apa jua rintangan, Saifuddin yang kamu lihat ini sentiasa kekal dengan parti, tidak pernah menghilangkan diri. Saya masih di sini dan akan terus berada di sini.
“Saya bersyukur kerana terlibat sejak awal penubuhan parti dan kekal sehingga saat ini. Saya menyaksikan sendiri bagaimana PKR berkembang daripada sebuah parti kecil, diterima rakyat pelbagai kaum, bertapak di bandar dan pedalaman serta disertai pelbagai lapisan masyarakat dengan agenda reformasi,” ujarnya yang akan berdepan dengan Rafizi Ramli. – MalaysiaGazette