Home Nasional Pembuli Lebuh Raya KL-Karak kini diburu polis

Pembuli Lebuh Raya KL-Karak kini diburu polis

Polis hari ini telah mempergiatkan usaha memburu seorang pemandu Toyota Alphard yang didapati menjadi pembuli jalan raya di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak semalam.

KUALA LUMPUR – Polis hari ini telah mempergiatkan usaha memburu seorang pemandu Toyota Alphard yang didapati menjadi pembuli jalan raya di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya telah menerima satu laporan ke atas pemandu tersebut.

Menurutnya, pihaknya telah terkesan satu rakaman video
berdurasi 2.25 minit di media sosial Facebook yang memaparkan sebuah  Toyota Alphard berwarna putih yang dipandu secara berbahaya di lokasi kejadian.

“Dalam video berkenaan, MPV ini telah didapati cuba memotong Q menggunakan lorong kecemasan dan perbuatan ini telah dirakam menggunakan dashcam seorang pengguna lain.

“Pemandu MPV ini juga didapati telah menghalang laluan pengadu dengan melakukan brek secara mengejut dan menyerongkan kenderaannya dengan niat provokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zainal, hasil semakan saman ke atas MPV berkenaan juga mendapati pemandu tersebut mempunyai 56 saman lampau yang masih belum dijelaskan.

“Satu laporan polis telah dibuat dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan polis. Polis juga meminta pemilik rakaman dashcam tampil ke IPD Gombak untuk memberi keterangan sebagai membantu siasatan kes tersebut,” tegasnya.

Beliau menyeru orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil bagi membantu siasatan atau boleh hubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis arah pembuli Lebuh Raya KL-Karak serah diri