KUALA LUMPUR- Kerajaan negeri Johor bersetuju meminda cuti hari kelepasan am (Cuti Khas Peristiwa) bagi negeri ini dari tarikh asal hari ini kepada Rabu (4 Mei).
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira Hari Raya yang jatuh pada hari ini.
“Keputusan pengisytiharan Cuti Khas Peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369),” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Pada Rabu lepas, Onn Hafiz dilaporkan berkata kerajaan negeri Johor memberi cuti kelepasan am pada hari ini sempena sambutan Aidilfitri.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Terengganu juga bersetuju mengambil Rabu ini sebagai hari kelepasan am (Cuti Peristiwa) bagi menggantikan hari Khamis (5 Mei) sebagaimana diumumkan sebelum ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Memandangkan tarikh perayaan 1 Syawal 1443H jatuh pada hari Isnin, 2 Mei (esok), Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menjadikan hari Rabu, 4 Mei sebagai hari kelepasan am (Cuti Peristiwa) menggantikan hari Khamis, 5 Mei.
Manfaatkan ruang ini untuk bersama keluarga tercinta. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook miliknya malam tadi.
Malam tadi, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya hari ini.
— BERNAMA