KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia masih mengambil langkah berhati-hati dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani pandemik meskipun kerajaan memberikan kelonggaran yang berkuatkuasa semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memuji sikap yang ditunjukkan rakyat dengan mengamalkan kawalan kendiri bagi seluruh anggota keluarga tidak dijangkiti Covid-19.
“Sewaktu saya datang tadi, ramai yang berjalan kaki ke masjid ini masih lagi memakai pelitup muka. Ini bermakna rakyat masih lagi berhati-hati, menjaga dan mengawal kendiri untuk kesihatan diri dan anak-anak keluarga masing-masing.
“Alhamdulillah walaupun diberi kebebasan namun tidak terlalu terbuka bebas, masih lagi berhati-hati,” katanya kepada pemberita di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Ri’ayatuddin Billah Shah dan Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pukul 8.30 pagi tadi.
Bermula 1 Mei lalu, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan sebaliknya ia menjadi pilihan individu
Bagaimanapun pemakaian pelitup muka diwajibkan apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.
Selain itu, imbasan kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera sebagai SOP daftar masuk ke premis tidak lagi diwajibkan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa melakukan kunjung mengunjung dan menziarahi sanak-saudara sepanjang Hari Raya Aidilfitri.
“Selamat hari raya kepada semua muslimin muslimat di mana sahaja berada di samping kita menyambut hari raya dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan.
“Saya menasihatkan kita juga perlu berhati-hati dan membuat kawalan kendiri bagi memastikan keluarga kita dan seluruh masyarakat dilindungi dan diberikan kesihatan baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette