Home Seni Hidup Agong, Permaisuri Agong berkenan solat Aidilfitri bersama rakyat

Agong, Permaisuri Agong berkenan solat Aidilfitri bersama rakyat

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menunaikan Solat Sunat Aidilfitri sempena 1 Syawal pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Wilayah Perseketuan, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Ri’ayatuddin Billah Shah dan Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandar idah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Keberangkatan tiba kedua-dua Seri Paduka Baginda di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pukul 8.15 pagi itu diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Baginda yang mengenakan baju Melayu dan samping serba biru turquoise itu terus mengerjakan solat sunat dua rakaat sebaik sahaja berangkat tiba di saf pertama masjid berkenaan.

Sementara menanti waktu solat sunat Aidilfitri pada pukul  8.30 pagi, Seri Paduka Baginda turut berkenan bertakbir Hari Raya Aidilfitri bersama Jemaah Menteri Kabinet dan rakyat pelbagai bangsa dan warganegara yang hadir.

Antara Jemaah Menteri Kabinet yang hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama YDPA ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Menteri di Jabatan Perdana (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamad.

Setelah selesai solat sunat Aidilfitri dan khutbah Hari Raya kira-kira jam 9.10 pagi tadi, kedua-dua Seri Paduka Baginda sempat menyantuni rakyat sambil bertanya khabar dan mengucapkan maaf zahir batin kepada umat Islam yang hadir di masjid tersebut. – MalaysiaGazette