LUMUT – Peluang mengucup tangan kedua ibu bapa dan beraya bersama keluarga tercinta memang dinanti-nantikan oleh setiap individu pada pagi Hari Raya Aidilfitri apatah lagi sambutan tahun ini lebih istimewa.
Namun, suasana itu tidak dapat diraikan oleh sebahagian daripada pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang perlu bertugas menjaga keselamatan dan keamanan negara.
Meskipun ada rasa sedih dan hiba di sudut hati tetapi demi keamanan negara, perasaan itu perlu ditolak tepi.
Juruplot Tektikal Peperangan, Bentara Kanan, Mohammad Firdzri Che Li mengakui amat merindui kedua orang tuanya di Bintong, Perlis selepas tidak menemui mereka sejak sekian lama ekoran terlibat dengan Ops Benteng ketika negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Bagaimanapun, bapa kepada tiga orang cahaya mata ini berkata, beliau bangga dengan tugasnya menjaga kedaulatan tanah air daripada diceroboh musuh dan itu dianggapnya satu amanah dan tanggungjawab perlu digalas sebagai benteng pertahanan negara.
“Sepanjang saya bertugas dalam pasukan ini sudah empat kali saya terlibat dalam operasi ketika semua umat Islam meraikan Aidilfitri.
“Meskipun begitu, saya juga diberikan cuti selepas beberapa hari, Aidilfitri disambut. Saya bertugas dengan penuh bangga kerana saya dapat menjaga keamanan di negara ini,” katanya yang merupakan petugas di kapal KD Mahawangsa, sebuah kapal TLDM yang berperanan sebagai kapal sokongan pelbagai peranan.
Pegawai Laksana KD Mahawangsa, Komander Khairil Anuar Jamaludin pula berkata, rasa sedih dirasainya kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri dengan keluarga terubat apabila kemeriahan itu dirai bersama anak-anak buahnya di atas kapal.
Dia menganggap kelasi-kelasi kapal KD Mahawangsa yang dikendalikan sebagai sebahagian daripada keluarganya dan disebabkan itu perasaan sedih tidak perlu digambarkan apatah lagi mereka semua adalah seorang perwira.
“Seperti yang pernah saya maklumkan kepada anak-anak buah, kapal KD Mahawangsa adalah rumah kedua kepada kita semua.
“Kita ini seperti keluarga…walaupun menyambut raya di laut kita boleh sambut juga secara sederhana tanpa ada keluarga di sisi,” ujarnya yang memberitahu seringkali mengingatkan isteri dan anak-anaknya mengenai pengorbanan beliau sebagai seorang pegawai tentera.
Perkara sama turut dirasai Petugas Komunikasi KD Mahawangsa, Laskar Kelas I, Muhamad Ismail Hamzah, apabila memberitahu, menyambut perayaan di atas kapal hanya boleh dilakukan secara sederhana.
Namun akuinya, sambutan Aidilfitri di atas kapal sangat berbeza berbanding jika dapat meraikannya bersama ibu, ayah dan adik beradik di kampung.
“Rasa sedih tetap ada bila teringat kampung halaman tapi semua itu harus dikorbankan demi menjaga kedaulatan negara tercinta,” tambahnya.
Begitu juga, Timbalan pegawai bekalan KD Mahawangsa, Leftenan Madya, Siti Noor Ameerah Amran yang memberitahu, hari raya Aidilfitri pada tahun ini merupakan perayaan yang ketiga tidak disambut bersama keluarga kerana bertugas.
Katanya, meskipun dua tahun sebelum itu beliau bertugas di darat dan hanya tahun ini diarah bertugas di atas kapal, namun, yang mengubati rasa rindunya kepada ahli keluarga di kampung adalah dengan membuat panggilan video kepada mereka.
Katanya, beliau menyedari agak sukar untuk sentiasa berhubungan bersama keluarga dan kawan-kawan di atas kapal ekoran faktor capaian internet yang terhad.
“Dengan adanya kawan-kawan di atas kapal ni, saya rasa ok je,” katanya.
Sementara itu, tukang masak KD Mahawangsa Bintara Muda, Mohd Firdaus Mohd Fadzil, berkata, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menyediakan makanan kepada semua kelasi kapal termasuk juadah untuk dinikmati pada hari raya.
Katanya, memang cukup mencabar buat dirinya menyediakan makanan untuk anak-anak kapal yang tidak dapat pulang berhari raya bersama keluarga masing-masing.
Tambahnya, dari segi sajian beliau cuba menyediakannya sama seperti di darat dengan hidangan menu hari raya bagi menaikkan moral anak-anak kapal.
“Mula-mula saya akan sediakan menu yang bersesuaian dengan hari raya…kemudian menu itu akan diberi kepada pegawai pemerintah untuk diluluskan.
“Apabila ia telah lulus barulah saya boleh menyediakan segala bahan untuk masakan yang dirancang sebagai hidangan di pagi hari raya,” katanya yang turut memaklumkan makanan seperti ketupat, lemang, rendang dan lain-lain adalah antara menu wajib disediakan. – MalaysiaGazette