KOTA BHARU – Umat Islam khusus rakyat Kelantan yang belum membayar zakat fitrah pada bulan Ramadan lepas, wajib qada zakat fitrah walaupun telah lewat daripada waktu ditentukan.
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, hal ini kerana terdapat hukum mengenai peringatan waktu untuk seseorang umat Islam yang merdeka iaitu golongan tua atau muda, lelaki atau perempuan dan berakal untuk membayar zakat fitrah.
“Hukum harus bermula dari awal bulan Ramadan hingga akhir bulan Ramadan manakala hukum wajib membayarnya pula apabila terbenam matahari pada akhir Ramadan dan berakhir sebelum terbenam matahari 1 Syawal,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Imam Masjid Bandar Kuala Krai Armin Azahari Mamat menyeru semua umat Islam supaya segera menunaikan kewajipan zakat fitrah kerana berdosa sekiranya tidak melaksanakannya.
“Memandangkan baru-baru ini umat Islam menjangkakan 1 Syawal jatuh pada 3 Mei (hari ini), mungkin ramai tidak sempat untuk membayar zakat fitrah pada akhir Ramadan lepas.
Beliau berkata zakat fitrah dibayar untuk kita berkongsi kepada orang yang memerlukan (fakir dan miskin) bagi meneruskan kelangsungan hidup. – MalaysiaGazette