Home National Dulu pegang al-Quran pun tak pernah – Banduan

Dulu pegang al-Quran pun tak pernah – Banduan

Banduan, Azahar, 24 bukan nama sebenar ditemu ramah selepas membaca ayat suci Al-Quran di dalam tirai besi semasa mengikuti kelas tahfiz Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah Penjara Kluang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan eksklusif Malaysia Gazette di Penjara Kluang, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 02 MEI 2022.

KLUANG – Tiada siapa sangka bacaan al-Quran dengan taranum dilagukan cukup sempurna dialunkan oleh  banduan yang kini sedang menerima hukuman di penjara.

Itulah transformasi ke atas 17 pelajar kelas tahfiz Penjara Kluang di sini, sejak ia dibuka tujuh tahun lalu.

Salah seorang banduan yang dikenaki sebagai Azahar, 24, mengakui sebelum ini dia bukan sahaja tidak pandai bertaranum malah tidak pernah memegang kitab suci itu.

Namun sejak dua bulan dia menjalani hukuman di penjara dan mengikuti kelas tahfiz, hukuman itu banyak mengajarnya mengenali ayat suci al-Quran walaupun merangkak-rangkak.

“Kini saya pandai membaca al-Quran daripada dulu saya tidak tahu membacanya. Alhamdulillah, sekarang dengan bantuan ustaz dan abang-abang yang lama mengajar saya di dalam penjara saya dah okay sikit.

“Dulu pegang (al-Quran) dan tengok dekat luar pun tidak pernah. Ya Allah, tenang, tuhan sahaja tahu. Rasa tenang,” katanya ketika  ditemui di Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah Penjara Kluang pada awal Syawal.

Seramai 17 orang pelajar baduan kelas tahfiz Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah Penjara Kluang membaca ayat suci Al-Quran di dalam tirai besi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan eksklusif Malaysia Gazette di Johor. Foto MOHD ADZLAN, 02 MEI 2022.

Duduk di kelilingi tembok besar, Azahar mengakui rasa kesal dengan tindak-tanduknya sebelum ini.

Anak bongsu daripada dua beradik ini teringin mengucup dan memeluk ibunya yang selama ini terpaksa menanggung malu dek perbuatannya itu.

“Saya memang sayu dan sebak tidak dapat beraya dengan mereka sebab tidak dapat minta maaf dengan keluarga yang di luar, tak dapat hiburkan hati mereka.

“Kalau diberi peluang memang tidak akan mengulangi semula kesilapan lama. Nak peluk emak kuat-kuat, minta maaf kepada emak, janji tidak buat lagi.

“Saya nak cium tangan emak dan ayah yang membesarkan dari kecil hingga sekarang nak minta ampun dan halalkan makan minum,” katanya sebak.

Sambungnya: “Hanya Tuhan yang tahu raya tanpa mereka. Kalau Allah izinkan saya mahu gunakan peluang terbaik dan tidak akan lukakan hati mereka,” tambah Azahar.

Meskipun rasa kesal dengan kenangan hitamnya, anak muda ini menzahirkan terima kasih dengan pihak Penjara Kluang kerana telah banyak membantu dirinya mengenali Islam lebih dekat.

“Terima kasih ustaz kerana banyak mengajar saya, di dalam ni disiplinnya kuat kerana kalau di luar kita tak pernah nak hormat orang tetapi Alhamdulilallah di sini mereka ajar kami hormat orang dan disiplinkan diri dan jalankan tanggungjawab,” katanya.

Arman

Sementara itu seorang lagi penghuni tirai besi, Arman (bukan nama sebenar) mengakui selama ini dia tiada matlamat hidup namun situasi berubah apabila mula menghafaz ayat suci al-Quran.

“Al-Quran menjadikan hati saya semakin tenang,” ujarnya.

Arman yang bakal dibebaskan pada Disember ini menaruh harapan agar masyarakat dapat menerimanya apabila keluar kelak.

Dia yang enggan berfikir tanggapan orang lain terhadapnnya nanti, bagi Arman yang penting penerimaan ibunya.

Arman berkata, tatkala ini dia  tidak sabar mahu menemui dan mengucup ibu kesayangannya.

“Saya mahu memohon kemaafan daripada mak kerana doa seorang ibu besar di sisi Allah. Kalau orang lain tidak terima tak mengapa, tapi mak terimalah saya,” ujarnya sebak.

Ketika ditanya perasaanya menyambut Aidilfitri, Arman akui hatinya tidak sekuat mana.

“Lelaki ini ada ego, siang hari muka cerah je, nanti malam-malam muka jadi lain.

“Ada yang sembunyi di bantal dan nak kata tidak sedih itu bohonglah. Takbir raya sudah cukup mendatangkan keinsafan. – MalaysiaGazette