Home Utama 472 kawasan Lembah Kelang alami gangguan air 3 petang ini

472 kawasan Lembah Kelang alami gangguan air 3 petang ini

lori air Air Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 472 kawasan di Lembah Kelang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula pukul 3 petang hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan berkata, gangguan tersebut berlaku disebabkan insiden pencemaran yang telah dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Katanya, pencemaran itu menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihentikan sementara pada pukul 6.15 pagi dan LRA Bukit Tampoi pada pukul 11.30 pagi.

Wilayah yang mengalami gangguan adalah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan).

“Bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.

“Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.

“Para pengguna dikawasan terjejas dinasihatkan untuk menyimpan air secukupnya sehingga bekalan air dapat disalurkan,” katanya.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter.

Mereka juga boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Air Selangor menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.-MalaysiaGazette