SYAWAL diraikan dengan penuh kesyukuran dan kemenangan menelusuri tarbiyah Ramadhan selama sebulan. Kesyukuran ini diterjemahkan dengan bertakbir memuji Allah SWT, solat sunat Aidilfitri, bersedekah serta saling bermaafan sesama keluarga dan sahabat handai. Suasana norma baharu sedikitpun tidak mengurangkan kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini, manakala amalan tradisi turun temurun wajar diteruskan dengan mengambil langkah berjaga-jaga mengikut SOP yang telah ditetapkan.
Madrasah Ramadan meninggalkan kesan yang mendalam kepada mukmin yang memanfaatkan bulan ini dengan ibadah dan amalan soleh, manakala hasil daripada tarbiyahnya diharapkan mampu membimbing kita mengharungi sebelas bulan akan datang sebelum bertemu kembali Ramadan pada tahun hadapan.
Keghairahan pesta ibadah Ramadan masih berbekas di hati dan mempengaruhi seluruh jiwa raga orang yang beriman, dan itulah kesan bagi mereka yang benar-benar rindukan Ramadhan yang telah pergi. Momentum amal ibadah ini tidak terhenti begitu sahaja, bahkan bakal diteruskan dengan ibadah berpuasa enam hari di bulan Syawal. Allah SWT menjanjikan ganjaran pahalanya amat besar disisiNya. Daripada Abu Ayyub al-Ansari RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa sebulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka dia mendapat ganjaran pahala seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim).
Suatu ganjaran yang sangat tinggi nilainya apabila Allah SWT menawarkan tambahan ganjaran kepada sifat pemurah dan penyayang Nya di bulan Ramadan. Hanya dengan menambahkan lagi enam hari berpuasa di bulan Syawal, Allah SWT menganugerahkan ganjaran besar seolah-olah kita berpuasa selama setahun penuh. Ini menunjukkan isyarat jelas bahawa kehidupan seorang mukmin itu perlu sentiasa istiqamah atau konsisten dalam zon ibadan dan amal soleh tanpa terputus.
Ramadan yang berlalu merupakan madrasah dan pusat latihan bagi memupuk keimanan melalui tarbiah fizikal dan spiritual. Secara zahirnya, fizikal orang yang berpuasa adalah lebih baik dari keadaan fizikal orang yang perutnya sentiasa kenyang. Rasulullah SAW sering memilih berpuasa atau mengosongkan perutnya untuk tujuan beribadah kepada Allah SWT. Ini kerana Baginda menyatakan bahawa perut yang kosong akan memudahkan untuk mengawal hawa nafsu.
Segala kerosakan dan kebinasaan kepada kehidupan manusia di dunia ini banyak didorong oleh kebejatan hawa nafsu yang tidak terkawal. Allah SWT menegaskan dalam surah Yusuf ayat 53: “Dan tiadalah Aku berani membersihkan diriku; Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Seringkali berlaku apabila Ramadan berlalu, segala rutin ibadah yang dahulunya sebati dalam diri bertukar kembali seolah-olah Ramadhan ini tidak pernah kunjung tiba. Solat berjemaah kini menjadi asing pada diri, kitab al-Quran mula ditinggalkan tersusun rapi, silaturrahim dalam kalangan jiran tetangga tidak lagi dihayati, fakir miskin dan anak-anak yatim tidak dipeduli dan disantuni lagi.
Persoalannya, mengapakah nafsu yang dididik sepanjang Ramadan yang baru sahaja berlalu gagal untuk kita terjemahkannya di luar Ramadhan? Sewajarnya tarbiyah Ramadan itu mampu meninggalkan kesan berskala besar kepada umat Islam yang melalui pendidikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan beramal dengan penuh keikhlasan.
Jika di bulan Ramadhan kita melazimkan diri berzikir, berwirid dan mengingati Allah SWT dengan membaca al-Quran sehingga khatam, maka kenapa kita tidak mampu untuk membaca al-Quran dan mentadabburnya walau hanya 5 minit sahaja dalam sehari? Andai di bulan Ramadan kita bingkas bangun bertahajud di sepertiga malam, maka mengapakah berat bagi kita untuk bangun bertahajjud walau sekadar 2 rakaat di luar Ramadan? Sekiranya di bulan Ramadan rutin harian kita tidak putus-putus bersedekah, menderma dan memberikan makan kepada fakir miskin, justeru mengapa kita tidak mampu meneruskan amalan bersedekah kepada fakir miskin atau menderma pada bulan-bulan berikutnya? Kalaulah di bulan Ramadan kita konsisten solat berjemaah bersama ahli keluarga, mengapakah di luar Ramadan, kita mengabaikannya?
Antara kesan tarbiyah di bulan mulia ini mendidik hati supaya sentiasa bersyukur dan mengagumi kebesaranNya. Tiada hasad, dengki dan iri hati kecuali bersangka baik sesama ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga, mengambil berat dan bantu membantu walaupun tidak diminta. Pandangan mata dan pendengaran telinga sentiasa dijaga, manakala mulut pula dipelihara daripada mengeluarkan kata nista. Alangkah indahnya akhlak peribadi seorang muslim apabila menerima tarbiah madrasah Ramadan, namun sayang sekali sekiranya cerminan tarbiyah ini hilang begitu sahaja seiring dengan berlalunya Ramadhan.
Sesungguhnya, segala amalan baik yang telah dilakukan sepanjang Ramadan yang lalu menuntut kepada istiqamah dalam penerusan pelaksanaanya. Tanamkan azam dan pasakkan niat untuk meneruskan segala amalan yang telah dilaksanakan sepanjang Ramadan yang lalu. Perasaan sedih meninggalkan Ramadan dan harapan untuk bertemu lagi Ramadhan pada tahun hadapan merupakan fitrah jiwa orang yang cintakan amal soleh sepertimana dinyatakan oleh Mu’alla bin Al-Fadhl, salah seorang ulama tabi’ tabiin: “Dahulu para sahabat, selama enam bulan sebelum datang Ramadan, mereka berdoa agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadan. Kemudian, selama enam bulan sesudah Ramadan, mereka berdoa agar Allah menerima amal mereka di bulan Ramadan yang lalu.”
Sebagai umat Islam, kita perlu bermuhasabah tentang kedudukan kita hari ini. Sewajarnya semangat dan kesungguhan kita dalam mentaati perintah Allah SWT sepanjang Ramadhan yang lalu diteruskan di sepanjang hidup kita di dunia ini. Itulah matlamat Ramadan yang sebenarnya iaitu untuk membentuk seorang insan yang bertaqwa.
Para ulama telah memberikan lima panduan untuk kita terus istiqamah dalam beramal soleh. Pertama, sentiasalah memperbaharui niat dengan ikhlas dalam setiap amalan yang kita lakukan. Muhasabah diri kita mengapakah semangat kita beramal soleh di dalam bulan Ramadan lebih hebat berbanding dengan keadaan kita di bulan yang lain? Adakah kita beramal hanya kerana disebabkan bulan Ramadan? Sekiranya amal soleh yang kita lakukan ikhlas kerana Allah SWT, sepatutnya segala kebaikan tersebut kita kekalkan dan dilaksanakan sepanjang masa dalam kehidupan kita. Oleh itu, sucikanlah hati kita dengan sentiasa mengikhlaskan niat dalam setiap amal dan pekerjaan yang kita lakukan.
Kedua, perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar kita dikurniakan kekuatan untuk melakukan amal soleh dan dijauhkan daripada godaan iblis dan syaitan yang sentiasa menghasut kita untuk melakukan maksiat. Rasulullah SAW sering berdoa sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadith, daripada Shahar bin Haushab RA: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamaMu.” (Riwayat al-Tirmizi).
Ketiga, berusahalah mencari teman-teman dan sahabat yang suka melakukan kebaikan. Teman yang baik amat penting dalam proses perubahan diri kerana mereka akan sentiasa mengajak kita melakukan kebaikan bahkan menegur kesalahan dan dosa yang kita lakukan.
Keempat, hayatilah sirah Nabi SAW dan kehidupan para sahabat Rasulullah SAW. Walaupun ada dalam kalangan sahabat yang dijamin syurga, namun anugerah yang dikurniakan Allah SWT itu tidak menjadikan mereka bermalas-malasan atau berehat di rumah bahkan mereka tetap bersungguh-sungguh beramal dan sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.
Kelima, mulakanlah amal soleh secara berperingkat-peringkat tetapi berterusan. Bermula dengan jumlah yang sedikit kepada jumlah yang banyak ataupun bermula dari peringkat yang rendah hingga ke peringkat yang tinggi secara perlahan-lahan dan berterusan (istimrar). Daripada Aisyah RA, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Muslim). Mulakanlah amalan membaca al-Quran dengan jumlah yang sedikit dan ringan. Begitu juga amalan berpuasa sunat, mulakanlah dengan puasa 6 hari dibulan Syawal terlebih dahulu dan puasa sunat pada hari Isnin dan juga Khamis. Lakukanlah secara berterusan tanpa jemu sehingga akhirnya kita dapat melazimi segala ibadah tersebut dengan lebih banyak lagi.
Kesimpulannya, beramal dengan penuh keikhlasan merupakan suatu kewajipan seorang mukmin kerana ia merupakan syarat suatu amal itu diterima oleh Allah SWT. Segala amal soleh yang telah dikerjakan sepanjang bulan Ramadhan perlu diteruskan dengan konsisten. Firman Allah SWT dalam surah Al-Hadid ayat 21: “Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”
Dalam melaksanakan tuntutan dan kewajipan ibadah ini, kita hendaklah bersabar menghadapi ujian daripada Allah SWT sepertimana sabarnya ketika berpuasa dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga serta tuntutan nafsu syahwat. Hasil daripada kesabaran tersebut, kita akan mendapat balasan pahala daripada Allah SWT, sebagaimana firmanNya dalam surah al-Jathiyah ayat 15: “(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu”.
Oleh: Dr. Mohd Ashrof Zaki Yaakob
Pengarah
Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor