KUALA LUMPUR – Kekurangan pekerja asing ekoran pembekuan pengambilan pekerja asing menyebabkan lebih 300 daripada 2,000 kedai tekstil sudah ditutup.
Dijangka lebih banyak lagi kedai dalam proses ditutup sehingga hujung tahun ini.
Setiausaha Agung Persatuan Tekstil India dan Kedai Runcit (MITA), Datin R Maheswary yang mendedahkan isu ini berkata, isu kekurangan pekerja ini bukan baharu kerana ia sudah berlaku sejak 10 tahun lalu dan impaknya cukup besar ketika pandemik Covid-19 hingga menyebabkan usahawan tekstil India alami kerugian besar.
Beliau yang juga Bendahari Dewan Perniagaan dan Perindustrian India KL & Selangor (KLSICCI) menambah, masalah itu bukan sahaja berlaku pada sektor tersebut tetapi juga sub sektor lain seperti industri tukang emas dan gunting rambut yang rata-ratanya adalah usahawan dalam kalangan masyarakat India di negara ini.
”Kita semua sangat tertekan, kita telah banyak melontarkan pandangan, bercakap dengan pihak berwajib termasuklah kerajaan, menteri dan yang lain-lain. Kita telah lakukan segala macam namun tidak menunjukkan tanda-tanda positif sebaliknya semakin teruk.
”Selepas pandemik Covid-19 terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama hampir setahun lamanya, menyebabkan rata-rata mereka terpaksa gulung tikar apabila kami mengalami isu pengurangan pekerja selepas mereka pulang ke negara asal mereka.
”Saya sendiri yang memiliki kedai tekstil seluruh negara terpaksa menutup 13 cawangan, kini tinggal satu sahaja di Klang. Saya bukan bercakap tentang keperitan saya sebaliknya bersuara untuk yang lain-lain. Kita memerlukan pekerja asing terutamanya dari India untuk bekerja dalam industri ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Ketika ditanya mengapakah tidak ramai warga tempatan yang berminat untuk kerja di sektor itu walaupun gaji serta faedah lain ditawarkan agak lumayan, Maheswary akui masyarakat setempat tidak teruja dan berminat dengan kerja kategori 3D.
”Kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing supaya rakyat tempatan berpeluang bekerja di negara sendiri, tetapi sedih sekali kerana peluang ini memang tidak banyak diambil.
“Mereka yang memiliki pendidikan tinggi enggan bekerja di sektor seperti ini sebaliknya berhijrah ke negara lain kerana tidak gembira dengan cuti yang ditawarkan.
”Contohnya kedai tekstil paling banyak dikunjungi ketika musim cuti atau cuti am, namun ketika itu mereka memilih untuk bersama keluarga daripada bekerja.
”Ini salah satu daripada isu kita, gaji minimum bukanlah isu. Sedangkan pekerja asing pula mahu menghantar wang ke kampung halaman sanggup bekerja dalam masa yang lama walaupun pada cuti am untuk mendapat elaun kerja lebih masa,” tambahnya.
Maheswary yang merupakan pemilik tekstil terkenal, Gayathiri Silk Palace berkata, rakyat tempatan yang mahu bekerja di sektor tekstil hanyalah dalam kalangan pelajar yang tamat sekolah atau menunggu kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
Sedangkan, kerja di sektor ini memerlukan komitmen tinggi kerana mereka perlu diajar pelbagai perkara termasuklah mengenali jenis-jenis kain seperti sari, cara mengikat sari itu mengikut citarasa tertentu. Banyak yang perlu dipelajari.
“Ada juga pekerja yang sudah mendapat pengalaman berhenti kerana mendapat tawaran di tempat lain atau mahu membuka kedai mereka sendiri. Kita tidak boleh halang kerana itu untuk kemajuan mereka sendiri.
”Jadinya apakah penyelesaian kami selain bergantung kepada pekerja asing terutamanya dalam industri perniagaan tradisional yang memerlukan kemahiran dari India?
“Sampai bila nasib kami begini? Kami amat berharap pada kerajaan hari ini menjadi penyelesaian bagi memastikan tidak ada lagi yang menggulung tikar dalam masa terdekat ini,” rayunya. – MalaysiaGazette
Jika perlu sangat pekerja dari India, pergi buka kilang di India. Amat mencurigakan jika kedai gunting rambut pun perlu bawa masuk pekerja dari India sedangkan mereka boleh guna tenaga tempatan yang terlatih dari intitusi kemahiran.