TUMPAT – Pas bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk kehadiran gabungan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan, kata Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, kemunculan gabungan seperti itu adalah perkara biasa dalam politik dan bagi Pas ia langsung tidak menggugat kesiapsiagaan jenteranya menghadapi PRU15 akan datang.
“Mana-mana pihak boleh membuat apa sahaja yang mereka rasa dibenar oleh Perlembagaan negara. Cuma masing-masing membuat persiapan. Apa pun kita berpandu kepada arahan dan keputusan pusat (Pas pusat),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Kelantan di Kampung Alor Pasir, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan sebuah gabungan baharu diberi nama Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan ditubuhkan dengan hasrat menumbangkan Pas di Kelantan pada PRU15 nanti.
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, biarpun sambutan Aidilfitri pada kali ini awal sehari daripada jangkaan, perayaan itu masih diraikan dengan meriah.
“Walaupun perkara ini seperti menimbulkan masalah tetapi sebenarnya inilah cara kita berpegang kepada pelaksanaan melihat anak bulan, maka dengan sendirinya saya bersetuju atas dasar keputusan para ulama mesti didahului dengan melihat anak bulan. Sekiranya anak bulan telah kelihatan maka dengan sendirinya hisab jatuh kepada keputusan yang kedua.
“Memanglah agak terkejut sedikit, suasana agak luar biasa kerana masing-masing tidak sempat membuat persiapan dengan secukupnya kerana mereka mengharapkan pada tarikh jangkaan, namun dalam keadaan yang tergesa-gesa, kita dapat menyediakan persiapan,” katanya.
Mengulas mengenai pemberian cuti peristiwa pada esok (Khamis) kepada kakitangan awam negeri seperti yang diumumkan sebelum ini, Ahmad berkata, ia terpaksa ditarik balik kerana merasakan sudah cukup pemberian cuti selama tiga hari.
Justeru katanya, esok adalah hari bekerja bagi penjawat awam di negeri itu. – MalaysiaGazette