Home Sukan Jersi ‘tangan Tuhan’ Maradona dibida RM38 juta

Jersi ‘tangan Tuhan’ Maradona dibida RM38 juta

Jersi milik legenda Diego Maradona 'Hand of God' pada Piala Dunia 1986 mendapat bidaan termahal dunia apabila dijual pada harga lebih £7 juta.

LONDON – Jersi yang pernah dipakai legenda Argentina, Diego Maradona ketika melakukan jaringan ‘Hand of God’ pada Piala Dunia 1986 mendapat bidaan termahal dunia apabila dijual pada harga lebih £7 juta (RM 38.1 juta), lapor The Guardian.

Pemiliknya yang juga bekas pemain tengah England, Steve Hodge mengambil keputusan untuk melepaskan jersi berkenaan dan nilai tersebut mengatasi harga jualan jersi termahal yang pernah direkodkan ketika bidaan iaitu jersi pemain legenda besbol New York Yankees, Babe Ruth, £4.4 juta (RM23.9 juta) pada 2019.

Pada asalnya, jersi Maradona dianggarkan bernilai £4 juta hingga £6 juta dan sejak dibuka untuk bidaan, hanya seorang tampil mengemukakan bidaan bernilai £4 juta (RM21.7 juta) dan akhirnya ia terjual pada harga  £7,142,500 (RM38,891,187 juta).

Pada aksi suku akhir Piala Dunia 1986, Maradona meledak dua gol untuk membantu Argentina menewaskan England 2-1 dengan menyaksikan satu lagi gol dihasilkannya yang turut diangkat sebagai jaringan terbaik ‘goal of the century’.

Hodge sebelum ini menegaskan, jersi tersebut tidak akan dijual dan sejak 20 tahun lalu, ia dipamerkan di Muzium Bola Sepak Kebangsaan di Manchester.

Pada edisi itu juga, Maradona turut mengetuai Argentina menjulang Piala Dunia selepas menewaskan Jerman Barat 3-2. – MalaysiaGazette

https://www.theguardian.com/football/2022/may/04/diego-maradona-hand-of-god-shirt-sold-for-record-71m-at-auction